5 Makanan Terbaik Ketika Sahur Ramadhan

Lebih kurang dua minggu lagi, dengan izin Allah, kita akan menyambut Ramadhan 1444H. Tahun ini adalah tahun ketiga kita menyambut Ramadhan dalam musim virus covid masih menjadi bualan utama, namun haruslah kita bersyukur, kali ini kita sudah pun berada di fasa endemik.

Memandangkan kita masih lagi di musim ramai orang dihinggapi virus, amalan berpuasa di bulan Ramadhan boleh dijadikan sebagai waktu terbaik untuk kita berazam menjadi lebih sihat, secara rohani dan jasmani.

Rasulullah S.A.W bersabda,

صُوْمُوْا تَصِحُّوا

Maksudnya: “Berpuasalah kamu nescaya kamu sihat.”

Namun begitu, usaha untuk menjadi sihat di bulan Ramadhan juga datang dengan pelbagai cabaran. Antara cabaran- cabaran kesihatan yang sering dihadapi ketika berpuasa termasuklah :

  • Rasa lapar dan lesu yang teramat, terutamanya pada minggu pertama Ramadhan
  • Sukar untuk meneruskan puasa kerana masalah- masalah kesihatan sedia ada seperti penyakit kencing manis dan darah tinggi.
  • Mengalami masalah- masalah berkaitan dengan usus dan penghadaman seperti gastrik, sebu atau sembelit.

Dalam menghadapi cabaran- cabaran sebegini, adalah menjadi keutamaan kita untuk membuat perancangan yang rapi dalam pemilihan makanan sepanjang bulan Ramadhan, terutamanya ketika bersahur.

Makanan yang baik dan berzat ketika bersahur membolehkan kita menjalani ibadah puasa dengan lancar, dan boleh menjalakan tugasan harian di rumah dan di tempat kerja tanpa gangguan.

Mengapa mesti pilih makanan yang sihat ketika bersahur?

  • Berpuasa perlu ada tenaga

Secara purata kita akan berpuasa selama lebih kurang 8 jam sehari, dan sepanjang 8 jam ini, kita mesti menjalankan aktiviti- aktiviti lain seperti biasa. Kita masih perlu bekerja, masih menguruskan keluarga dan perlu masa yang cukup untuk beribadah pada waktu siang dan juga malam.

Berpuasa bukan alasan untuk kita berehat sahaja (dan kita pun tak mampu nak berehat 24 jam!) Kesemua aktiviti- aktiviti seharian ini memerlukan tenaga supaya ia dapat dilaksanakan dengan baik dan tidak mengganggu perjalanan kehidupan seharian. Tubuh badan kita mestilah ada bekalan tenaga yang cukup, diambil ketika bersahur melalui makanan- makanan yang baik.

 

  • Tidak mahu rasa terlalu lapar dan dahaga ketika berpuasa

Kita semestinya tidak boleh menjangkakan untuk rasa kenyang ketika berpuasa, kerana rasa lapar dan dahaga ini lah yang memberikan kita keinsafan ketika menahan diri daripada makan dan minum sepanjang hari.

Tetapi kita juga tidak mahu mengalami rasa lapar dan dahaga yang keterlaluan betul tak? Apatah lagi bagi mereka yang bekerja menggunakan banyak kudrat 4 kerat, berada di luar rumah, di bawah terik matahari, rasa lapar atau dahaga berlebihan akan mengganggu fokus dan boleh menyebabkan motivasi berpuasa boleh terganggu.

 

  • Mahu otak yang kekal fokus dan tajam ketika berpuasa

Adalah menyedihkan sekiranya berpuasa yang mengandungi pelbagai hikmah kepada tubuh badan manusia, tetapi disalaherti sebagai punca kepada otak rasa tidak cekap pula. Pada minggu pertama berpuasa, “brain fog” boleh berlaku, jadi pemilihan makanan yang tepat amat diperlukan supaya ia tidak berlarutan.

 

Berdasarkan 3 keperluan yang di atas, saya ingin berkongsi, 5 jenis makanan yang boleh kita makan ketika bersahur supaya kita tidak mengalami masalah lesu, tidak bertenaga, terlalu lapar atau terlalu dahaga serta tidak boleh fokus ketika belajar dan bekerja.

 

  • Ikan

 

Ikan merupakan pilihan protein yang sangat baik diambil ketika bersahur. Protein ikan dapat memberikan kepuasan makan yang lebih, berbanding pilihan protein yang lain. Rasa puas makan ini dapat mengelakkan kita daripada makan berlebihan ketika bersahur.

  • Telur

Telur adalah pilihan protein yang sangat padat dengan zat dan boleh disediakan dengan mudah pada waktu sahur. Sebiji telur mengandungi 75 kalori, 5 gram lemak, 1.6 gram lemak tepu, dilengkapi dengan zat besi, vitamin, mineral dan karatenoid.

 

  • Minyak zaitun

Minyak zaitun sangat versatail untuk dimakan ketika bersahur. Kita boleh ambil minyak zaitun sebagai supplement – minum 1 sudu atau digunakan untuk menumis, grill atau digaul di dalam salad. Minyak zaitun kaya dengan omega-3 sejenis asid lemak yang membantu kita rasa kenyang lebih lama.

 

  • Avocado

Avocado mungkin bukan pilihan sahur yang popular di Malaysia, tetapi khasiat avocado amatlah besar. Ia kaya dengan asid lemak omega-3, yang membantu mengawal paras gula dalam darah dan guna paras insulin. Ini penting kerana ketika berpuasa, paras gula dan insulin yang sihat dapat mengelakkan rasa lesu dan letih.

 

  • Kacang badam

Kacang badam kaya dengan pelbagai jenis lemak sihat, yang baik untuk mengawal paras gula dalam darah, paras kolesterol dan juga tekanan darah. Ia juga dapat mengurangkan rasa lapar dan ini membantu kita berpuasa dengan lebih baik lagi. Untuk bersahur, kacang badam boleh dicampur ke dalam smoothies, dan sangat enak dimakan bersama overnight oat.

 

Persiapan menyambut Ramadhan lebih sihat perlulah dibuat lebih awal, supaya kita boleh memilih makanan terbaik. Merujuk semula kepada hadis Rasulullah S.A.W di awal artikel ini, sewajarnya untuk kita berazam dan percaya bahawa kita sememangnya boleh jadi lebih sihat ketika berpuasa. Mulakan dengan sahur yang baik, pilih yang padat dengan zat, agar ia dapat menyokong keperluan fizikal, mental dan emosi kita di bulan yang mulia ini.

Facebook Comments

Please Login to Comment.