5 sebab mengapa wanita enggan kembali bekerja

Dua hari yang lepas saya membaca sebuah artikel yang yang membincangkan usaha TalentCorp Malaysia membuka peluang kepada wanita untuk kembali mengisi peluang pekerjaan setelah berhenti kerja.

CEO TalentCorp, Shareen Shariza Dato’ Abdul Ghani mengatakan bahawa wanita di negara ini meninggalkan alam pekerjaan seawal usia lewat 20-an dan awal 30-an bagi memberi ruang kepada kehidupan berkeluarga.

Dan apabila mereka meletakkan jawatan, peluang untuk mereka kembali semula bekerja adalah amat rendah, berbanding dengan wanita di negara Asia yang lain seperti di Jepun dan Korea Selatan.

Kebetulan pula dalam minggu ini, saya telah dijemput untuk menjawab soalan temubual oleh wartawan sebuah portal online. Temubual ini mahukan pendapat saya berkenaan pengalaman saya sebagai seorang ibu yang bekerja dari rumah (work at home mother).

Kesemua 19 soalan yang diberikan agak mudah untuk saya jawab, namun begitu terdapat satu soalan dalam temubual tersebut telah menyebabkan saya terpaksa mengambil sedikit masa sebelum boleh memberikan jawapan yang sesuai.

Ia berbunyi,

“Adakah puan akan kembali bekerja apabila anak- anak sudah besar nanti?”

Soalan ini membawa saya berfikir jauh dan mendalam tentang pendirian saya sendiri dan kemungkinan- kemungkinan yang menyebabkan wanita tidak mahu kembali bekerja.

1- Kualiti pusat penjagaan anak- anak berusia 0- 5 tahun 

Usia 0-5 tahun adalah tempoh kritikal seorang seorang anak untuk mengasah perkembangan minda pada tahap yang paling optimum.

Pada tempoh inilah otak anak menyerap segala jenis maklumat yang menentukan asas kepada tahap kepintaran, taraf kesihatan dan jenis personaliti mereka sebagai orang dewasa kelak.

Namun begitu, ibu- ibu yang bekerja sukar untuk mendapat jaminan bahawa anak- anak boleh berada di bawah jagaan institusi atau individu yang benar- benar berkualiti yang membolehkan anak- anak dalam lingkungan usia 0-5 tahun mendapat jagaan sewajarnya.

Faktor keselamatan dan kesihatan anak- anak adalah yang paling kerap menjadi sebab mengapa ramai ibu- ibu yang bekerja mengambil keputusan untuk meninggalkan kareer dan mengasuh sendiri anak- anak mereka.

2- Tiada rancangan dan peluang untuk tingkatkan skil dan pengetahuan sedia ada

Kembali bekerja selepas beberapa tahun berhenti, bermakna ibu- ibu ini mungkin telah kekok dan sedikit ketinggalan dalam bidang yang mereka pernah ceburi sebelum ini.

Seringkali yang berlaku ialah apabila ibu- ibu berhenti kerja, minat dan keinginan untuk terus mengasah bakat dalam bidang tersebut juga turut sama tenggelam dalam kesibukan membesarkan anak- anak dan menguruskan keluarga.

Sedikit sebanyak ia boleh mengugatkan tahap keyakinan dalam diri dan akhirnya memilih untuk tidak kembali bekerja.

3- Muncul peluang menjana pendapatan yang lain

Apabila ibu- ibu mengambil keputusan untuk berhenti kerja, bermakna keluarga akan kehilangan satu punca pendapatan keluarga. Kebiasaannya ibu- ibu yang sudah biasa berkerjaya tidak betah untuk duduk diam tanpa mencari peluang menjana pendapatan dari rumah, sekurang- kurangnya untuk belanja diri sendiri.

Apatah lagi era pemasaran digital membolehkan sesiapa saja termasuk ibu- ibu di rumah juga mampu menjana pendapatan yang lumayan. Kebolehan menjana pendapatan sendiri juga dapat membantu mengekalkan “self esteem” wanita dan ibu- ibu pada tahap yang positif.

4- Enggan bersaing

Pengalaman saya meletakkan jawatan sebagai Ketua Jabatan mengajar saya tentang poin ke-empat ini. Meletakkan jawatan ketika di kemuncak kerjaya, bermakna terdapat ramai calon- calon lain yang juga menginginkan jawatan yang sama.

Setelah beberapa tahun berlalu, apabila jawatan yang sama telah dimiliki oleh orang lain, ditambah dengan kemunculan bakat- bakat baru yang lebih berpengalaman membuatkan keinginan untuk bersaing mendapatkan jawatan yang setaraf atau lebih tinggi menjadi merosot.

Pada saat ini, kemampuan untuk memulakan sesuatu di dalam bidang yang baru, dilihat lebih menarik dan berbaloi berbanding kembali ke kancah kareer yang sama.

5- Tiada jaminan work- life balance

Samada terus bekerja, atau berhenti dan kemudian kembali semula, perspektif ibu- ibu terhadap kerja tetap sama, iaitu mereka masih perlu meneruskan segala tanggungjawab di rumah dan pada masa yang sama harus terus efisyen di tempat kerja.

Masih ramai majikan yang tidak boleh memberi jaminan waktu bekerja yang lebih baik untuk ibu- ibu, tiada peningkatan dalam kualiti khidmat penjagaan anak- anak yang dalam mampu dibayar oleh ibubapa, malah belum ada perubahan yang signifikan dalam kemudahan untuk para ibu seperti cuti bersalin yang lebih panjang.

Dengan mengambil kira 5 perkara ini sahaja dan tidak ditambah lagi faktor- faktor lain, tidak hairanlah mengapa wanita tidak melihat kembali bekerja sebagai satu peluang dan pilihan yang baik untuk mereka dan juga keluarga.

Subscribe to Blog via Email

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 261 other subscribers