Sehingga semalam, 26 Mac 2020, tidak ada lagi penurunan kes jangkitan Covid-19 di Malaysia. Lebih mendukacitakan, semalam juga, kes baru jangkitan Covid-19 adalah yang tertinggi dicatat iaitu sebanyak 235 kes baru.

Sumber : Laman Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Di Simpang Renggam, Johor
Pada hari yang sama juga, kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (Enhanced Movement Control Order) telah dilaksanakan di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor.
Ini berikutan dengan jumlah jangkitan yang tinggi, iaitu seramai 61 kes berpunca daripada daerah ini. Dengan perlaksanaan PKPD ini, masyarakat di kawasan ini tertakluk kepada peraturan- peraturan berikut :
- penduduk dan pelawat yang telah berada di kawasan tersebut tidak dibenarkan keluar sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan.
- bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan.
- semua aktiviti perniagaan dihentikan.
- makanan asas akan dibekalkan kepada semua penduduk oleh JKM
- pangkalan perubatan akan dibuka di kawasan PKPD
- semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup
- PDRM, ATM, APM, dan RELA akan mengawal seluruh kawasan.
Untuk orang ramai yang lain, kerajaan menggesa agar terus patuh kepada arahan “duduk rumah diam- diam” bagi menyekat penularan wabak Covid-19 dengan memutuskan rangkaian jangkitan.
Tiada Ubat, Tiada Vaksin Covid-19
Sehingga kini, tidak ada lagi ubat khas untuk merawat Covid-19 dan tidak ada lagi vaksin yang dicipta untuk mencegah wabak ini. Namun ini tidak bermakna kita tidak boleh melakukan apa- apa untuk memastikan tubuh mampu melawan jangkitan.
Rawatan yang diberikan di hospital adalah berdasarkan simptom- simptom yang dihadapi oleh pesakit. Menurut Centre for Disease Control And Prevention (CDC), 3 simptom utama jangkitan wabak Covid-19 ialah :
- Demam
- Batuk
- Sesak nafas
Terdapat 4 tanda- tanda kecemasan jangkitan Covid-19 dan kita wajib segera mendapatkan rawatan di hospital. Tanda- tandanya ialah :
- Sukar bernafas
- Sakit dada berulang- ulang
- Bibir lebam dan biru
- Sukar bergerak
Sistem imun manusia bekerja bagi mengenalpasti serangan virus atau bakteria ke atas tubuh. Selepas serangan dikenalpasti, sistem ini akan bertindak melawan dan menyelamatkan tubuh kita.
Ia adalah satu sistem yang kompleks dan sofistikated, melibatkan 7 bahagian utama iaitu :
- Sel darah putih
- Antibodi
- Lymph nodes (mengandungi sel darah putih, kesan dan lawan jangkitan)
- Complement cascade (bahagian sistem imun yang mengukuhkan lagi peranan antibodi)
- Limpa
- Thymus (organ yang terletak di belakang sternum, di antara dua paru- paru)
- Tulang sumsum
Oleh kerana tiada ubat dan tiada vaksin untuk Covid-19, kita bergantung sepenuhnya kepada sistem imun tubuh untuk melawan dan menghindari jangkitan virus ini. Jadi kita harus tahu dan bertindak untuk memastikan sistem imun ini boleh bekerja dengan cekap dan mengekalkan kesihatan kita pada tahap optimum.
(1) Tingkatkan zat dalam makanan harian
Dalam situasi PKP ini terdapat kemungkinan kita terlupa untuk mengambil kira zat dalam makanan dan minuman harian kita. Ini boleh jadi merugikan kerana zat harian akan membantu tubuh melawan jangkitan penyakit supaya kita kekal sihat sepanjang tempoh PKP. Antara contoh makanan yang baik diamalkan ialah yang kaya dengan anti oksida kerana makanan- makanan ini boleh mengurangkan radang dalam tubuh dan meningkatkan sistem pertahanan tubuh badan. Selain makanan, dinasihatkan juga supaya mengambil supplement bagi melengkapi keperluan vitamin dan mineral yang tidak cukup.
(2) Amalan Berpuasa
Puasa dapat membantu tubuh membina imuniti. Dalam satu kajian dalam tahun 2014 mendapati, apabila kita berpuasa, bilangan sel darah putih akan berkurangan, dan ini memaksa tubuh menghasilkan lebih banyak sel darah putih yang baru. Sel darah putih adalah “bala tentera” yang akan menyerang musuh- musuh yang menceroboh sistem imun tubuh kita. Dan sebagai bonus, puasa juga adalah rahsia awet muda!
(3) Kekal Cergas Dan Aktif
Terkurung di dalam rumah, tidak bermakna kita tidak boleh kekal aktif. Terdapat banyak cara yang boleh kita lakukan untuk pastikan kita terus aktif. Antara yang mudah ialah dengan mengikuti pelbagai bentuk senaman dalam video di Youtube. Pilih saja yang mana kita suka dan lakukan sebagai aktiviti santai bersama keluarga. Jurulatih terkenal, Kevin Zahri juga ada melakukan senaman harian secara Live di Facebook dan Instagram sepanjang tempoh PKP ini. Jadi boleh ikut dia saja!
(4) Pengambilan Vitamin C
Saya ada menulis tentang pengambilan vitamin C amat penting dalam tempoh penularan wabak Covid-19 ini. Kajian terkini juga telah dibuat di negara China ke atas pesakit- pesakit Covid-19 yang memberi tindakbalas positif selepas pengambilan vitamin C. Di Amerika Syarikat, para doktor juga mengambil langkah yang sama, dan dilaporkan pesakit Covid-19 menunjukkan respon yang positif ke atas rawatan menggunakan vitamin C.
Untuk kita yang masih sihat, vitamin C diambil sebagai langkah pencegahan jangkitan, mengekalkan tubuh yang sihat dan bertindak sebagai anti oksida yang efektif melawan radang di dalam tubuh.
(5) Dapatkan Tidur Yang Cukup
Perintah Kawalan Pergerakan ini adalah peluang kepada kita untuk dapatkan tidur yang cukup, kerana kita berada di rumah dan tidak lagi tergesa- gesa untuk keluar bekerja, mengharung jalanraya pada awal pagi dan lewat petang.
Ambil peluang ini untuk memperbaiki carai kita tidur dan belajar untuk dapatkan tidur yang berkualiti. Saya ada berkongsi cara untuk dapatkan tidur yang lebih baik dalam artikel ini.
(6) Kekal tenang dan positif
Sebagai orang awam, kita harus patuh kepada arahan kerajaan supaya kekal di rumah, duduk diam- diam di rumah dan BERTENANG. Kerajaan menjamin bekalan makanan adalah mencukupi untuk tempoh PKP, jadi kita tidak perlu risau.
Selain daripada itu, kerajaan juga telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi yang membantu semua golongan masyarakat yang terjejas pendapatan disebabkan oleh serangan wabak Covid-19.
Dalam keadaan sekarang, sudah pastinya kehidupan kita tidak sama lagi seperti sebelum ini, tetapi kita boleh mengawal apa yang di dalam kuasa kita.
Sama- sama kita berdoa agar tempoh dugaan ini berakhir dengan baik secepat mungkin.