Bagaimana Kesihatan Usus Beri Kesan Kepada Kesihatan Mental

Pada 10 Oktober yang lepas, kita menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia, dan tahun 2019 memberi fokus kepada pencegahan bunuh diri. Di seluruh dunia, seorang akan bunuh diri pada setiap 40 saat, dan statistik ini amat membimbangkan.

Di Malaysia, dalam 20 tahun kebelakangan ini, peningkatan pesakit mental adalah 3 kali ganda. Sebagai contoh dalam satu kajian yang dijalan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, dalam tahun 2017, mendapati 4.4% guru telah dikenalpasti menghadapi tekanan di peringkat sederhana.

Masalah kesihatan mental memberi kesan kepada pembangunan negara dan dianggarkan negara boleh mengalami kerugian sebanyak RM99.9 billion pada tahun 2030 – meningkat daripada jumlah RM43.6 billion pada tahun 2010!

Usus Dan Kesihatan Mental

Dalam satu artikel yang diterbitkan di website Harvard Health Publishing, berkaitan kesihatan usus dan emosi, ia melontarkan soalan- soalan berikut,

Have you ever had a “gut-wrenching” experience? (rasa memulas)

Do certain situations make you “feel nauseous”? (rasa meloya)

Have you ever felt “butterflies” in your stomach? (rasa berdebar- debar)

Menurut artikel ini, gambaran- gambaran perasaan cemas, gementar dan takut dikaitkan dengan kesan pada “usus/ perut” bukanlah disengajakan kerana ianya memang berkaitan.

Otak kita mempunyai hubungan langsung dengan usus, sehinggakan bila kita fikir nak makan pun, lantas jus di dalam usus pun dikeluarkan.

Dan ramai yang tidak tahu bahawa sistem pencernaan manusia sememangnya sensitif dengan perubahan emosi seperti rasa marah, cemas, bimbang, gembira. Dan semua emosi ini pula boleh mencetuskan pelbagai simptom fizikal dan tingkahlaku.

Simptom- Simptom Yang Biasa Dihadapi

Berikut adalah simptom- simptom yang melibatkan masalah usus, yang berkaitan dengan gangguan fizikal, tingkahlaku dan emosi.

Fizikal

  • Rasa tegang pada otot, terutama leher dan bahu
  • Sakit kepala
  • Sukar untuk tidur
  • Menggigil
  • Kurang minat dengan seks
  • Berat turun / naik mendadak
  • Tidak tenang

Tingkahlaku

  • Gemar buang masa & menangguh kerja
  • Mengetap gigi
  • Sukar untuk siapkan tugasan
  • Makan lebih banyak/ berkurangan
  • Merokok lebih kerap
  • Lebih ingin bersosial/ semakin kurang bergaul
  • Kerap merungut tentang masalah

Emosi 

  • Menangis
  • Rasa tertekan yang tinggi
  • Sukar untuk bertenang
  • Gugup dan gementar
  • Cepat marah
  • Depresi
  • Sukar untuk fokus
  • Pelupa
  • Tidak lagi ceria
  • Tidak boleh buat keputusan

Kaitan Usus Dan Kebimbangan (Anxiety)

Dalam satu kajian di Shanghai Mental Health Center di Shanghai Jiao Tong University School of Medicine, saintis membuat perbandingan samada terdapat kaitan atau tidak di antara simptom kebimbangan, dengan cara mengawal selia persekitaran di dalam usus (gut flora) seperti bakteria, fungus,  virus dan lain- lain hidupan mikro di dalamnya.

Dalam 21 kajian yang dipilih oleh saintis, 14 kajian menggunakan kaedah probiotik sebagai intervensi untuk mengawal selia persekitaran di dalam usus, dan 7 kajian memilih kaedah diet. Keputusan kajian mendapati, 11 daripada 21 kajian tersebut (52%), menunjukkan bahawa kedua- dua intervensi secara mengambil probiotik dan mengubah diet, memberi kesan positif kepada pengurangan simptom- simptom anxiety.

Apa itu probiotik?

Probiotik ialah organisma yang boleh ditemui secara semulajadi di dalam makanan, atau lebih dikenali sebagai bakteria baik. Bakteria baik ini berfungsi melawan bakteria jahat di dalam usus, supaya bakteria jahat tidak “berkampung” di situ dan mengganggu sistem usus. Kita digalakkan mengambil makanan- makanan yang kaya dengan probiotik bagi menyeimbangkan persekitaran mikrobiom di dalam usus.

Dapatan Kajian

Dalam 14 kajian yang memilih kaedah pengambilan probiotik pula mendapati,  36% menunjukkan kesan positif kepada simptom anxiety, dan dalam 7 kajian yang memilih kaedah diet, menunjukkan 86% keberkesanan.

Saintis merumuskan bahawa pendekatan mengubah diet adalah lebih efektif berbanding pengambilan supplement probiotik disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah jenis probiotik yang diambil adalah berbeza- beza dan adakalanya menyebabkan bakteria- bakteria berlawan sesama sendiri.

Berbeza dengan kaedah mengubah diet lebih sihat, memberikan peluang kepada persekitaran di dalam usus menjadi lebih sihat apabila ia memperolehi sumber- sumber tenaga yang lebih baik daripada makanan.

Jadi mengubah diet memberi kesan yang lebih baik kepada masalah anxiety berbanding dengan cara pengambilan supplement probiotik semata- mata.

3 Cara Ubah Diet Untuk Usus Lebih Sihat

Sebelum kita mengambil supplement probiotik, ada 3 langkah penting yang boleh diambil bagi memastikan usus benar- benar mendapat faedah daripada makanan yang kita ambil.

1- Minimumkan gula tambahan dan makanan terproses 

Diet yang tinggi dengan gula tambahan dan makanan terproses, boleh mengurangkan jumlah bakteria baik dalam usus. Apabila bakteria baik berkurangan, berlaku ketidakseimbangan dalam gut flora, dan ini boleh menjadi punca tekanan dan “craving”.

2- Makan lebih banyak serat sayuran 

Makanan tinggi serat daripada  sumber tumbuhan, membantu meningkatkan jumlah bakteria baik dalam usus. Makanan- makanan ini dipanggil sebagai “prebiotik” bermaksud, makanan yang menjadi makanan kepada probiotik. Contoh sayuran yang tinggi serat adalah asparagus, tomato, artichokes, bawang merah, bawang putih, berries, flax seeds, dan timun.

3- Berhenti ambil antibiotik sekiranya tidak perlu

Walaupun antibiotik diperlukan untuk membenteras bakteria yang menyebabkan jangkitan penyakit, namun pengambilan secara tidak terkawal dan dalam jangka masa yang lama, boleh mengganggu kesihatan usus. Dalam satu kajian mengatakan, walaupun kita sudah mengambil antibiotik 6 bulan lepas, usus kita masih lagi boleh terjejas akibat ketidakseimbangan bakteria baik.

Sihatkan Usus Demi Kesihatan Mental

Terdapat kaitan langsung di antara kesihatan usus dan kesihatan mental – dipanggil  “gut – brain axis”. Usus dan otak dikatakan saling berkomunikasi dan memberi signal kepada satu sama lain. Pendekatan terkini dalam kajian kesihatan mental dan neuropsychology amat memberi penekanan kepada kesihatan usus.

Saintis semakin yakin bahawa masalah mental seperti bipolar disorder, schizophrenia, dan lain- lain masalah psikologi dan neurologi berkemungkinan besar berkaitan dengan perubahan dalam sistem gut flora manusia.

Sumber rujukan :

https://www.health.harvard.edu/diseases-and-conditions/the-gut-brain-connection

https://www.sciencedaily.com/releases/2019/05/190520190110.htm

https://www.medicalnewstoday.com/articles/325293.php

https://www.nature.com/articles/s41564-018-0257-9

https://www.psycom.net/the-gut-brain-connection

https://www.thestar.com.my/opinion/letters/2019/07/15/mental-health-in-the-workplace

Facebook Comments

Please Login to Comment.