Pengenalan
Masalah tekanan darah tinggi adalah satu sindrom yang dihidapi oleh mereka yang mengalami masalah kecelaruan metabolik. Kecelaruan metabolik berlaku apabila kita menghadapi beberapa masalah kesihatan seperti tekanan darah yang tinggi, bacaan gula dalam darah yang tinggi, ukur lilit pinggang yang berlebihan (boroi) dan bacaan kolesterol yang tidak normal. Gabungan masalah- masalah ini menyebabkan meningkatnya risiko sakit jantung, strok dan penyakit kencing manis.
Penyakit darah tinggi adalah antara masalah kesihatan yang paling ramai dihidapi di seluruh dunia. Pada tahun 1975, terdapat 594 juta orang mengidap penyakit darah tinggi dan jumlahnya meningkat kepada 1.13 bilion pada tahun 2010. Penyakit ini juga merupakan salah satu beban kesihatan dunia yang disenaraikan oleh WHO.
Seseorang yang telah mendapat penyakit darah tinggi, kebiasaannya juga mengidap diabetes dan sakit jantung, atau dikenali sebagai penyakit tiga serangkai. Di Malaysia, 4 daripada 5 orang tidak menyedari mereka telahpun ada penyakit tiga serangkai ini dan menyebabkan banyak kes kematian mengejut seperti ketika bersukan atau ketika tidur.
Tekanan Darah Tinggi Dan Diet Tinggi Garam
Ramai orang mengetahui tentang kaitan tekanan darah tinggi dengan pengambilan garam berlebihan dalam diet harian. Dalam proses biasa, badan akan membuang cecair yang tidak diperlukan dengan menapis darah melalui buah pinggang dan bahan buangan tersebut dikenali sebagai air kencing/ urin.
Untuk melakukan proses ini, badan akan melakukan osmosis yang mengeluarkan air daripada darah dengan menyeimbangkan jumlah sodium (garam) dan potasium di dalam darah. Namun begitu, apabila terdapat terlalu banyak garam di dalam aliran darah, ia akan mengganggu proses ini dan menambah jumlah air yang hendak dibuang dan memberi tekanan pada salur darah. Dan dalam jangka masa panjang, tekanan ini akan membawa kepada kegagalan fungsi buah pinggang pula.
Selain masalah yang dinyatakan di atas, pengambilan garam berlebihan juga meningkatkan risiko obesiti. Kajian mendapati apabila kanak- kanak dan remaja makan makanan yang tinggi garam, mereka juga akan minum minuman bergula dengan lebih banyak untuk menghilangkan dahaga. Selain itu, kajian ini menyatakan, makanan tinggi garam adalah kebanyakkan daripada kategori makanan segera dan terproses, jadi ianya sangat tinggi kalori, lalu membawa kepada masalah obesiti. Dan sebagaimana yang kita tahu, berat badan berlebihan akan meningkatkan risiko tekanan darah tinggi.
Tekanan Darah Tinggi Dan Diet Tinggi Gula
Kebiasaan yang kita tahu, pengambilan gula berlebihan menyebabkan kegemukan dan obesiti, lantas ini menyebabkan orang terkena penyakit darah tinggi. Tetapi ramai yang tidak tahu, pengambilan gula memberi kesan kepada tekanan darah, walaupun seseorang itu tidak ada masalah kegemukan dan obesiti.
Dalam satu kajian di Universiti Otago, New Zealand, penyelidik mengumpulkan data- data daripada kajian- kajian tahun 1965 sehingga tahun 2013, dan membuat kesimpulan bahawa, pengambilan gula menjadi punca kepada tekanan darah tinggi dan bacaan kolesterol tanpa perlu seseorang itu menjadi gemuk atau obes.
Dalam satu kajian yang lain pula mendapati, tidak ada perubahan yang ketara berlaku ke atas tekanan darah tinggi, apabila garam dikurangkan di dalam diet setiap hari. Kajian ini merujuk data dalam 7 kajian yang melibatkan 6000 orang responden.
Bagaimana Gula Jadi Punca Tekanan Darah Meningkat?
Terdapat 3 keadaan yang menyumbang kepada penyakit darah tinggi apabila kita mengambil gula secara berlebihan setiap hari.
1- Gula Punca “Hyperinsulinemia” Yang Membawa Kepada Tekanan Darah Tinggi
Hyperinsulinemia ialah keadaan yang berlaku apabila badan menghasilkan hormon insulin yang berlebihan. Keadaan ini boleh berlaku kepada mereka yang sudah ada penyakit diabetes, dan juga kepada mereka yang tidak menghidap diabetes.
Insulin adalah hormon yang dihasilkan oleh pankreas dan ia dikeluarkan untuk menyeimbangkan gula dalam darah. Tetapi apabila kita terlalu kerap dan banyak mengambil gula dalam diet setiap hari, pankreas akan mengeluarkan insulin secara berlebihan dan dikenali sebagai hyperinsulinemia. Dan hyperinsulinemia tidak mempunyai sebagai tanda dan simptom.
Apabila hyperinsulinemia berlaku, sodium dalam darah akan tidak seimbang, buah pinggang perlu bekerja lebih keras untuk membuang air kencing, saluran darah menjadi sempit dan tekanan darah akan meningkat.
2- Gula Punca Inflamasi Dalam Tubuh Meningkat, Punca Tekanan Darah Juga Meningkat
Satu kajian dalam tahun 2018 mendapati bahawa gula menjadi punca kepada inflamasi kronik terutamanya kepada mereka yang minum minuman bergula. Dan inflmasi kronik adalah punca kepada pelbagai masalah kesihatan termasuklah penyakit darah tinggi.
Lebih membimbangkan, inflamasi yang berpunca daripada diet tinggi gula bukan saja menyebabkan tekanan darah meningkat, malah meningkatkan risiko terkena strok dan serangan jantung.
Dalam satu kajian oleh Brigham & Women’s Hospital bersama -sama Harvard Medical School, meneliti perkembangan kesihatan 21,000 orang wanita dalam jangka masa 8 tahun. Dalam jangka masa ini, 1/4 daripada wanita yang tinggi inflamasi dalam tubuh (diukur berdasarkan paras c-reactive protein dalam tubuh), akhirnya mendapat penyakit darah tinggi.
Bagaimana Gula Meningkatkan Inflamasi?
Terdapat beberapa cara gula meningkatkan inflamasi dalam tubuh badan kita.
- Apabila kita makan gula, ia akan bergabung dengan protein dan lemak yang kita makan, ia akan menghasilkan sejenis bahan dikenali sebagai AGE protein. Semakin banyak kita makan gula, semakin banyak AGE protein terhasil, semakin tinggi paras inflamasi di dalam tubuh.
- Semakin banyak gula yang kita makan, usus kita menjadi semakin lemah dan tidak sihat. Apabila usus kita tidak sihat, mudahlah bakteria dan lain- lain bahan pencetus inflamasi masuk ke dalam tubuh badan kita.
- Gula yang dimakan berlebihan akan menyebabkan kegemukan, dan kegemukan adalah punca tubuh tinggi inflamasi secara berpanjangan.
- Gula juga menyebabkan paras LDL meningkat, menghasilkan lebih banyak c-reactive protein yang menjadi punca inflamasi.
3- Gula Punca Diabetes, Dan Diabetes Datang Bersama Penyakit Darah Tinggi
Semua orang tahu pengambilan gula berlebihan adalah punca penyakit diabetes, dan kebiasaannya, penyakit diabetes akan datang bersama penyakit darah tinggi dan penyakit jantung.
Pesakit diabetes tidak dapat menghasilkan insulin yang cukup untuk menstabilkan gula dalam darah seperti orang yang sihat. Gula yang tinggi dalam darah akan menyebabkan salur darah dan buah pinggang terjejas. Apabila salur darah dan buah pinggang tidak bekerja dengan baik, tekanan darah akan terjejas, dan meningkat tinggi. Dalam jangka masa panjang, keadaan ini akan menyebabkan pelbagai lagi komplikasi kesihatan termasuklah serangan jantung dan strok.
Kesimpulan
Adalah sangat penting untuk kita sedar bahawa gula adalah punca penyakit, dan ia tidak terbatas kepada masalah diabetes semata- mata. Tahukah anda, tidak ada orang yang mati kerana diabetes, tetapi orang mati akibat komplikasi penyakit diabetes seperti serangan jantung, strok dan kegagalan fungsi buah pinggang. Penyakit diabetes akan datang bersama- sama tekanan darah tinggi, dan pencegahan haruslah bermula daripada akar umbinya iaitu hentikan pengambilan gula berlebihan.
—-
Rujukan :
- https://www.ahajournals.org/doi/full/10.1161/HYPERTENSIONAHA.115.05948
- https://www.eurekalert.org/pub_releases/2014-05/uoo-sii051414.php
- https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/21731062/
- https://www.bharian.com.my/wanita/sihat/2019/11/627438/serangan-jantung-secara-tiba-tiba
- https://time.com/123245/sugar-goes-straight-to-your-blood-pressure/
- https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/16904534/
- https://www.winchesterhospital.org/health-library/article?id=78979