Berhenti Makan Gula Selama 14 Hari Dan Ini Kesannya!

Dalam kempen No Sugar Challenge yang saya kendalikan di Facebook, saya tidak memberi apa- apa jangkamasa untuk seseorang mencuba berhenti mengambil gula berlebihan di dalam diet harian. Ada yang mencuba selama 7 hari, ada yang mencuba selama 2 minggu, sebulan atau 3 bulan.

Saya sendiri pada peringkat awal hanya mahu mencuba selama 7 hari dan kemudian meneruskan selama 30 hari dan 100 hari, sebelum mengambil keputusan untuk menjadikan No Sugar Challenge ini sebagai gaya hidup kekal.

Dalam video yang bertajuk “What Happens If You Stop Eating Sugar For 14 Days” oleh Dr. Eric Berg, beliau memberikan penerangan ringkas tentang apa yang bakal berlaku pada tubuh kita selepas 14 hari berhenti mengambil gula tambahan dalam makanan dan minuman.

1- Kurang Selera Terhadap Makanan Bergula

Menurut Dr. Berg ini adalah formula mudah. Apabila kita makan gula, paras gula dalam darah boleh merosot mendadak, menyebabkan kita mahukan gula lagi dan lagi. Apabila kita berhenti makan gula, selera terhadap gula akan berhenti. Mudah!

2- Kurang Rasa Lapar

Sekiranya anda kerap lapar, anda wajib menukar diet harian yang mungkin tinggi gula. Gula menyebabkan kita sentiasa lapar dan mahu makan lagi dan lagi. Apabila kita berhenti makan gula, kita menstabilkan paras gula dalam darah, dan kita tidak akan sentiasa lapar sepanjang hari. Gula yang berlebihan dalam tubuh akan menyebabkan kerintangan insulin. Apabila berlaku kerintangan insulin, tubuh tidak dapat menyerap zat, mineral dan vitamin dengan baik, dan tenaga tidak dapat dihasilkan dengan efisyen, menyebabkan kita rasa lapar sepanjang masa.

3- Kurang Rasa Letih Dan Lesu

Kebiasaannya kita akan jadi letih, lesu dan mengantuk selepas makan, sekiranya kita makan makanan tinggi gula. Rasa letih dan lesu ini disebabkan oleh paras gula dalam darah yang naik dan turun mendadak, memberi kesan kepada otak, menjadikan ia letih dan tidak bermaya. Sekiranya kita dalam menstabilkan gula dalam darah dengan mengambil makanan yang sihat dan seimbang, otak akan menjadi lebih segar, cergas dan cekap.

4- Hilang Air Dan Lemak Berlebihan

Gula berlebihan dalam tubuh akan menyebabkan tubuh mengalami “water retention”. Jadi menurut Dr. Berg, pada minggu pertama, kita akan buang banyak air berlebihan dalam badan sekiranya kita berhenti mengambil gula tambahan. Pada minggu kedua pula, kita akan mula kehilangan lemak yang berlebihan. Saya sendiri melihat rakan- rakan yang menyertai kelas bimbingan No Sugar Challenge hilang 3-4 kilogram dalam masa seminggu dengan sangat mudah! Paling ketara pakaian akan mula longgar terutamanya di bahagian pinggang dan punggung.

5- Mood Lebih Baik Dan Ceria

Gula berlebihan boleh menjadi punca kita mudah marah- marah dan cepat terasa. Apabila kita buang gula berlebihan dalam tubuh, kita berasa lebih tenang, dan mudah didekati. Fungsi otak juga akan menjadi lebih cekap dan mudah untuk fokus.

6- Kulit Lebih Sihat Dan Nampak Lebih Segar

Menurut Dr. Berg dalam video ini, apabila seorang wanita makan gula berlebihan, menyebabkan hormon insulin meningkat dan hormon androgen juga akan meningkat. Ini boleh jadi punca kepada masalah jerawat pada wanita. Bagi lelaki pula, peningkatan hormoin insulin menyebabkan hormon testosteron merosot dan boleh berisiko kepada masalah- masalah kesihatan lain pula.

7- Kurang Kesakitan Pada Sendi Dan Otot

Pengambilan gula berlebihan setiap hari menyebabkan tubuh mengalami keradangan sepanjang masa. Dan ini adalah punca sendi- sendi berasa sengal, tidak selesa, lenguh dan sebagainya. Apabila gula berlebihan dibuang dari diet, secara semulajadinya keradangan akan merosot dan kita dapat rasakan tubuh lebih cergas, segar dan mudah untuk melakukan aktiviti- aktiviti kecergasan yang lain. Dalam bahasa mudahnya – badan rasa lebih ringan!

Kesimpulan

Menurut Dr. Berg dalam video ini, perubahan ini boleh dirasakan dalam dua minggu dan dalam masa lebih kurang 3 hari kita perlu melalui fasa “sugar withdrawal” terlebih dahulu. Dr. Berg berpesan supaya mengambil supplement vitamin B dan asid lemak omega- 3 yang cukup untuk mengharungi fasa “sugar withdrawal” ini dan tidak perlu risau kerana fasa ini hanya sementara sahaja.

Facebook Comments

Please Login to Comment.