November 28, 2017

Future of Work Malaysia, Apa Masa Depan Anda?

Pada 20 November yang lepas, saya menghadiri Future of Work Malaysia, satu seminar antarabangsa yang dianjurkan oleh TalentCorp Malaysia. Seminar ini mengumpulkan barisan pakar dalam bidang pendidikan, kreativiti, sains dan teknologi serta perniagaan, bagi membentangkan idea, dan berkongsi pengalaman tentang masa depan pekerjaan, cara bekerja dan jenis tenaga kerja pada masa hadapan.

Saya teruja untuk mengikuti seminar satu hari ini memandangkan sejak tahun 2013, saya sudah meninggalkan gaya kerja konvensional apabila saya mula bekerja dari rumah, dan menjana pendapatan secara bebas dan tidak terikat dengan waktu bekerja, atau majikan. Seminar ini bukan saja membuka mata saya tentang masa depan kerjaya sendiri, malah turut teruja dengan pelbagai peluang lain yang ada, bersesuaian dengan kemahiran dan pengalaman sedia ada yang saya miliki.

Selain itu saya juga berkesempatan bertemu semula dengan mentor/bos saya Puan Shareen Shariza Dato’ Abdul Ghani yang kini menerajui TalentCorp sebagai CEO.

Di sini mahu berkongsi 5 dapatan daripada seminar yang saya fikir sangat penting untuk diketahui oleh lebih ramai orang di luar sana yang sedang meninjau peluang untuk bina pendapatan dengan gaya kerja yang baru.

1- Waktu bekerja fleksi menjadi pilihan majoriti

Undian yang dijalankan sepanjang waktu seminar memberi indikasi bahawa semakin ramai yang mahu bekerja secara fleksibel. Mereka mahu bekerja dari mana- mana lokasi dan tempat (tidak semestinya dari rumah) tanpa perlu terikat untuk pergi ke pejabat. Puan Nora Manaf, Maybank Group Chief Human Capital, berkata, apa yang penting ialah bagaimana kita boleh menjadi lebih produktif. Beliau sendiri berpendapat produktiviti tidak bergantung kepada berapa lama waktu kita bekerja, tetapi bagaimana kita bekerja untuk mencapai produktiviti harian yang kita mahukan.

Puan Nora Manaf pernah berhenti kerja dan kembali ke dunia korporat, dan pernah juga bekerja secara fleksibel di luar negara.

 

2- Tren pendapatan tambahan semakin meningkat

Tunku Alizakri Deputy CEO, KWSP berpendapat, cara bekerja kebelakangan ini semakin berubah ke arah memiliki lebih daripada 1 jenis pekerjaan sahaja. Beliau memberikan contoh Uber sebagai gaya kerja fleksibel yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang masih memiliki pekerjaan tetap. Ramai yang memilih untuk menambah pendapatan selepas waktu bekerja atau pada hujung minggu dengan memandu Uber. Dan menurut beliau, tidak mustahil juga orang akan memilih untuk bekerja untuk pesaing kepada syarikat sedia ada sebagai usaha menambah pendapatan.

Tunku Alizakri berkata, kita sudah mula perlu ambil tahu tentang masa depan “pendapatan” kita, bukan sekadar bimbang tentang masa depan pekerjaan semata- mata.

3- Pekerja mahukan suasana pejabat yang lebih moden dan selesa

Timothy Tiah, Co-Founder Colony Co-working space, membuat pemerhatian dan kesimpulan bahawa, ruang bekerja yang selesa boleh meningkatkan produktiviti syarikat dan perniagaan. Golongan millennial tidak lagi mahu bekerja di pejabat yang kaku dan tiada “jiwa”. Menurut Tim, golongan ini sanggup bekerja lebih dan menjadi lebih produktif sekiranya tempat kerja dapat menyediakan keselesaan seperti mesin pembancuh kopi kegemaran mereka. Konsep berkongsi  ruang kerja seperti yang disediakan oleh Colony misalnya, memberi peluang kepada majikan untuk menyediakan segala kemudahan seperti gymnasium, ruang rekreasi dan “designer coffee” untuk pekerja mereka tanpa perlu menyediakannya sendiri.

Tim mendapat idea untuk memulakan Colony working space apabila menyedari bahawa ramai orang tidak gembira dengan persekitaran tempat kerja yang membosankan dan menjejaskan produktiviti.

4- Pekerja mahukan persekitaran yang tiada diskriminasi

Saqib Shaikh, seorang software engineer di syarikat Microsoft, berpendapat, keseronokan bekerja juga bergantung kepada kemampuan majikan dan tempat kerja menyediakan suasana yang tiada diskriminasi. Shaikh yang hilang keupayaan penglihatan sejak kecil tidak merasakan dirinya kekurangan bekerja di Microsoft kerana syarikat itu menyediakan suasana yang memajukan lagi dirinya sebagai seorang individu dan juga sebagai seorang pekerja yang kreatif.

Shaikh berpendapat, majikan harus membina persekitaran tempat kerja yang lebih inklusif dan tidak mendiskriminasi.

 

5- Komunikasi dan perhubungan kunci kejayaan bekerja secara fleksibel

Sehraj Singh, dari LinkedIn India berpendapat, walaupun tren menunjukkan semakin ramai memilih untuk kerja secara fleksibel, tetapi kepentingan untuk berhubung dan berkomunikasi setiap masa masih menjadi keutamaan.Walaupun berjauhan dengan majikan atau tempat kerja, pekerja dan majikan masih mahu berhubung dengan cepat dan pantas. Dan mereka juga mahu dilihat sebagai sebahagian daripada organisasi dan kumpulan dan mahu berbangga dengan syarikat yang mereka wakili.

Menurut Sehraj Singh, LinkedIn mempelopori penyelesaian masalah dalam kerjaya dengan memberi peluang kepada pekerja mengenalpasti kekuatan dan kemahiran yang mereka ada untuk ditawarkan kepada bakal majikan.

Dalam ucapan penutup seminar ini, CEO TalentCorp, Puan Shareen Shariza Dato’ Abdul Ghani sekali lagi berkongsi tentang Program NEXT yang juga dilancarkan pada hari tersebut. Program ini membantu anda mengenalpasti set kemahiran yang anda miliki, bagaimana memilih kerja dan persekitaran kerja yang paling sesuai dengan anda. Pengalaman menghadiri seminar Future of Work sangat membuka mata dan fikiran saya untuk meneruskan perancangan kareer sedia ada bagi mula merancang untuk bersaing di masa hadapan. Syabas kepada TalentCorp di atas inisiatif yang sangat bermakna ini.

Facebook Comments

Subscribe to Blog via Email

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 283 other subscribers

Click Here to Leave a Comment Below

Leave a Reply:

CommentLuv badge