December 25, 2017

Gastrik Yang Mirip Serangan Jantung

Dalam posting yang lepas, saya terlupa nak sebutkan yang ketika suami saya terfikir kemungkinan dia diserang sakit jantung, dia terlebih dahulu berasa mual dan muntah. Kemudian barulah dadanya berdebar- debar dan tidak boleh reda walaupun telah cuba berehat dan bertenang.

Selepas doktor mengesahkan ianya bukan serangan jantung dan semuanya OK, beberapa minggu selepas itu barulah doktor memberitahu tentang serangan gastrik yang mirip dengan serangan jantung.

Apabila kami membaca dengan lebih lanjut, rupa- rupanya ini adalah simptom GERD ataupun gastroesophageal reflux disease. GERD berpunca daripada keradangan pada esofagus, dan pada masa yang sama juga boleh mengalami “acid reflux”.

Apabila serangan GERD berlaku, adakalanya saraf di usus dan jantung tidak dapat memberitahu otak tempat asal kesakitan yang dialami. Jadi serangan GERD dirasakan amat mirip dengan serangan jantung.

Berikut saya kongsikan perbezaan di antara serangan GERD dan serangan sakit jantung :

Sekiranya ia adalah serangan sakit jantung, dada adalah berasa “ketat” dan rasa tajam menusuk akan turut dirasai merebak ke bahagian belakang, leher, rahang atau lengan.

Pesakit juga akan berpeluh, berasa mual, pening, nadi tidak normal dan sukar untuk bernafas.

Ketika hari kejadian, walaupun suami saya mengadu jantungnya berdegup kencang, berasa mual dan berpeluh, dia masih boleh bernafas seperti biasa dan tidak mengalami kesakitan pada dada, leher, rahang ataupun lengan.

Serangan jantung juga biasanya berlanjutan lebih lama berbanding sekadar serangan GERD.

Perhatikan juga jenis makanan yang baru saja diambil sebelum kejadian, kerana makanan pedas boleh menjadi punca serangan GERD.

Sekiranya selepas makan itu kita perlu bertinggung ataupun membongkok, rasa tidak selesa akibat GERD boleh menjadi semakin serius.

Saya teringat ketika hari kejadian, selepas saja makan tengah hari, memang suami saya pergi mencuci bilik air, sudah tentu lah dia kerap bangun dan duduk, serta bertinggung semasa memberus lantai (saya terfikir juga ketika itu adakah suami keracunan bahan pencuci bilik air!).

Walau bagaimanapun, sekiranya kita mengalami salah satu simptom yang disebutkan ini, adalah lebih baik terus saja ke wad kecemasan dan dapatkan rawatan yang sewajarnya.

Sekiranya ianya adalah serangan jantung, 90 minit pertama adalah sangat kritikal, yang boleh menentukan hidup dan mati. Dan untuk masalah GERD pula, kesihatan usus lah yang perlu dititikberatkan, dan sejak kejadian itulah kami mula merangka rancangan untuk mulakan detoks usus.

Saya akan kongsi dalam post akan datang ya 🙂

xx
Puteri

Facebook Comments

Click Here to Leave a Comment Below

Leave a Reply: