August 2, 2017

Golongan Millennial Tidak Mahu Bekerja Dalam Pejabat

Kredit foto : Colony KL website

Antara sebab sampingan yang mendorong saya begitu mahu membina kareer secara fleksibel dengan bekerja dari rumah ialah isu berulang alik ke pejabat. Setiap hari saya akan menggunakan LRT dan juga kereta, berulang alik pergi dan balik kerja. Berulang alik pergi dan balik kerja ini walaupun sudah menjadi gaya hidup dan kebiasaan majoriti orang di bandaraya Kuala Lumpur, namun ianya tetap menjadi beban dan memberi impak kepada kesihatan fizikal dan juga mental.

Tidak hairan lah jika semakin ramai golongan millennial hari ini memilih untuk bekerja secara fleksibel, tidak terikat dengan waktu pejabat. Malah ada yang langsung tidak ada pejabat kerana mereka boleh bekerja dari mana- mana tempat yang mereka suka, tidak terhad sekadar berada di rumah sahaja. Pada masa depan, pekerjaan dan kareer tidak lagi terhad kepada ruang dan kemudahan pejabat konvensional di mana pekerja perlu masuk dan keluar mengikut waktu yang ditetapkan.

Ada pelbagai alternatif untuk bekerja dalam era segalanya virtual dan atas talian. Kita hanya perlu memilih lokasi yang mana paling sesuai dengan jiwa dan cara kita bekerja.

1- Bekerja dari rumah

Jika diberi pilihan, saya sangat senang bekerja dari rumah dan ini adalah pilihan pertama saya. Walaupun ramai yang merungut mereka tidak dapat fokus dan tidak berdisiplin di rumah, bagi saya segalanya terletak kepada keupayaan merancang kerja dan masa. Antara yang perlu sedikit latihan apabila berada di rumah ialah kebolehan untuk menghalang diri daripada berasa terlalu selesa, atau terlalu terganggu dengan keadaan rumah yang mungkin perlu dikemas dan diselenggara. Bagi saya apabila tiba waktu bekerja, saya boleh mengetepikan apa saja kerja rumah yang tiada kaitan dengan kerja bisnes saya. Dengan susun atur ruang di rumah yang baik, kita masih boleh mencapai matlamat dan menghasilkan kerja yang berkualiti.

2- Bekerja dari kafe

Mesti anda biasa melihat eksekutif- eksekutif muda bekerja di kafe- kafe yang hip dan “trendy” terutamanya di kawasan tumpuan perniagaan dan syarikat- syarikat. Selain menyiapkan kerja, mereka juga menjadualkan temujanji dan perbincangan dengan pelanggan atau rakan sekerja yang lain di kafe. Bertemankan laptop, wireless percuma dan secawan kopi, mereka akan menghabiskan masa berjam- jam sehinggalah kerja mereka selesai. Terdapat pendapat yang mengatakan walaupun kita ada pejabat tetap, sekali sekala pergilah ke kafe- kafe untuk bekerja kerana perubahan persekitaran dapat merangsang kreativiti. Saya perhatikan walaupun persekitaran kafe juga sibuk dengan pelanggan- pelanggan, tetapi mereka yang memilih untuk bekerja tetap boleh fokus dan tidak terganggu. Lagipun kemungkinan besar tidak ada siapa yang mengenali kita, jadi kita boleh buat kerja sendiri tanpa perlu melayan sesiapa.

3- Bekerja dari “co-working space”

Konsep bekerja di dalam suasana pejabat tetapi bukan pejabat yang tetap adalah idea yang sangat trending ketika ini. Saya pernah mengunjungi WORQ Coworking Space di Damansara yang menyediakan kemudahan ruang bekerja mengikut keperluan seperti hot desk (ruang terbuka), meja tetap, bilik persendirian, bilik mesyuarat dan juga bilik perbincangan. Individu- individu seperti freelancer dan juga yang menjalankan bisnes dari rumah seperti saya boleh mendapat manfaat bukan sahaja melalui konsep berkongsi ruang tetapi juga dapat menambah kenalan dan jaringan bisnes. Saya juga amat tertarik dengan idea Tim Tiah, yang mengasaskan Colony, juga berkonsepkan “co-working space” yang mana beliau berkata, jika majikan mahu berikan pengalaman bekerja yang menyeronokkan tetapi tidak mahu berbelanja besar, “co- working space” adalah alternatif yang terbaik. Colony miliknya yang terletak di KLCC bukan sahaja menyediakan ruang bekerja (terbuka dan persendirian) tetapi juga turut menyediakan gymnasium, bilik urutan, kolam renang dan kafe. Menelusuri laman web Colony sudah membuatkan saya begitu tertarik dengan ketelitian hiasan dalaman bagi mewujudkan rasa seronok untuk datang bekerja. Lantas membuatkan saya terfikir, bagaimana pula keadaannya di General Assembly, iaitu “co- working space” yang sebesar 20 ribu kaki persegi di New York itu ya? Pastinya lebih mengagumkan!

 

Facebook Comments

Subscribe to Blog via Email

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 283 other subscribers

Click Here to Leave a Comment Below

Leave a Reply:

CommentLuv badge