August 3, 2017

3 Halangan Terbesar Untuk Mula Bekerja Dari Rumah

Apabila saya Google topik bekerja dari rumah, begitu banyak sekali yang membincangkan jenis- jenis pekerjaan yang boleh dilakukan sekiranya kita mahu memulakan gaya hidup bekerja dari rumah. Ada pelbagai pilihan disenaraikan seperti khidmat katering, menjual produk secara online, menjadi personal shopper, khidmat party planner, membina website, membuat kerja alih bahasa dan macam- macam lagi. Ada juga yang menyarankan supaya menukarkan hobi seperti membuat kraf dan menjahit kepada bisnes yang menguntungkan.

Jadi bila saya lihat puluhan senarai pekerjaan ini, sebenarnya tiada isu untuk sesiapa saja mula bekerja dari rumah. Secara idealnya kalau lihat senarai memang ada macam- macam kerja boleh dibuat untuk menjana pendapatan, tetapi apakah sebenarnya yang menghalang kita untuk buat keputusan dan bermula sekarang?

1- Halangan Kewangan

Apabila saya lihat senarai kerja yang boleh dibuat dari rumah dan secara freelance ini, soalan pertama yang muncul paling cepat dalam fikiran ialah “Berapa banyak pendapatan yang boleh dijana?”. Tidak ramai yang mahu bekerja dari rumah semata- mata kerana ada minat yang mendalam, tanpa memikirkan implikasi kewangan ke atas diri sendiri dan keluarga. Kebanyakan keluarga hari ini bergantung kepada dua punca pendapatan iaitu suami dan isteri. Sekiranya salah seorang mahu mula bekerja dari rumah, seharusnya jumlah pendapatan yang baru perlu diambil kira supaya tidak menganggu urusan perbelanjaan keluarga. Dan saya perhatikan semakin kita lama kita bekerja, semakin banyak pula komitmen yang kita kumpul. Pembelian kereta dan rumah adalah komitmen terbesar yang perlu kita fikirkan sekiranya kita mahu menukar jenis pekerjaan dan perlu fikir jauh tentang jumlah pendapatan yang bakal diperolehi.

Isu kewangan ini sebenarnya tidak sepatutnya jadi halangan jika kita tahu apa langkah paling selamat, sebelum ambil keputusan untuk bekerja dari rumah. Saya suka menyarankan supaya kita berlatih terlebih dahulu dengan melakukan bisnes dari rumah secara sampingan. Lihat apakah yang perlu diperbaiki dan dipelajari terlebih dahulu sebelum buat keputusan. Dalam masa yang sama, buat perancangan 1-2 tahun supaya kurangkan komitmen kewangan seperti hutang- hutang peribadi dapat dilangsaikan, dan tidak menambah komitmen seperti ansuran kereta baru. Pada pendapat saya, dua langkah ini dapat memberikan kita petunjuk samada kita benar- benar bersedia atau tidak untuk menukar kareer dan bekerja dari rumah.

2- Risau Tiada Kemahiran

Apabila kawan- kawan berbual dengan saya, mereka sering mengeluh jika terpaksa berhenti kerja, apa kemahiran yang mereka ada untuk mula bekerja dari rumah? Kebimbangan ini ada benarnya, kerana saya lihat ramai rakan- rakan wanita yang memulakan bisnes dari rumah, sudah ada kemahiran masing- masing, seperti memasak, menjahit atau membuat kraf. Biasanya mereka mengambil tempahan secara sampingan pada hujung minggu sahaja, sebelum melakukkan kerja secara sepenuh masa. Jadi kemahiran mereka ini benar- benar membantu keputusan untuk bekerja dan berniaga dari rumah.

Namun begitu pada pendapat saya, kemahiran boleh dipelajari dan kemahiran juga boleh hilang begitu saja jika tidak dipupuk. Usah bimbang sekiranya kita bermula dengan kosong, tidak tahu apa- apa, kerana pasti ada jalan untuk kita pergi belajar terlebih dahulu dengan orang lain. Ambil inisiatif untuk belajar pada setiap masa yang terluang dan laburkan juga wang untuk mendapatkan kemahiran- kemahiran baru sebagai bekalan di masa hadapan.

3- Tidak Pandai Berniaga

Ini adalah satu lagi halangan popular yang sering diutarakan oleh mereka yang menyimpan impian mahu bekerja dari rumah. Golongan ini biasanya amat tertarik dengan cara kerja di rumah, dengan masa yang fleksibel dan kebebasan menentukan jadual sendiri.  Tetapi impian mereka sering tergugat kerana fikiran telah disogok dengan pendapat bahawa untuk bekerja di rumah, kita haruslah berniaga, betul tak?

Pada pendapat saya, kita tidak perlu hadkan fikiran kita setakat ini sahaja. Ada pelbagai lagi peluang menjana pendapatan yang boleh dilakukan di rumah tanpa perlu berniaga. Blogging adalah salah satu daripada kerjaya yang boleh menjana wang tanpa perlu berniaga. Jika ada kemahiran mereka bentuk laman web pun sudah boleh menjana pendapatan. Kendalikan media sosial perniagaan orang lain pun salah satu punca pendapatan juga. Jadi siapa kata bekerja di rumah hanya boleh dengan berniaga? Lakukan dahulu penyelidikan, buatlah perancangan rapi dan kekalkan fokus, pasti anda ketemu jalan untuk bekerja dari rumah.

Facebook Comments

Subscribe to Blog via Email

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 283 other subscribers

Click Here to Leave a Comment Below

Leave a Reply:

CommentLuv badge