February 22, 2017

Ikut nasihat ini sebelum anda hantar notis berhenti kerja

Ketika saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dalam tahun 2012, ketika itu bisnes part time saya sudah menjana sekitar RM5000 sebulan.

Melihatkan sambutan yang sangat baik terhadap produk yang saya edarkan, saya tidak ragu- ragu untuk menghantar notis berhenti kerja, dan melepaskan gaji tetap yang ketika itu juga sudah mencecah jumlah yang sama.

Namun begitu, apabila saya kenang semula tindakan saya ini, saya pasti tidak akan mencadangkan perkara yang sama kepada orang lain.

Tindakan berhenti kerja secara melulu hanya kerana bisnes mendapat sambutan, bukanlah tindakan yang tepat.

 

1- Sediakan wang simpanan sebanyak 6 bulan gaji

Ramai pakar menulis tentang hal wang simpanan jika mahu berhenti kerja, dan mereka memberi anggaran wang simpanan haruslah berjumlah 6-12 bulan gaji semasa. Sekiranya gaji semasa RM5000, jadi wang simpanan mesti ada sekurang- kurangnya RM30,000. Nasihat ini sangat praktikal kerana kita tetap perlu membayar keperluan harian dan bulanan diri dan keluarga, walaupun selepas berhenti kerja. Lagi banyak wang simpanan, adalah lebih baik.

2- Pastikan pendapatan bisnes menyamai gaji bulanan

Ketika saya menghantar notis berhenti kerja, pendapatan bisnes memang sudah menyamai gaji bulanan. Dan pada hari terakhir saya bekerja, pendapatan bisnes sudahpun 2 kali ganda. Namun begitu, perkara yang sama tidak berlaku pada semua orang. Pendapatan dalam bisnes ada pasang surutnya. Untuk lebih yakin dan lebih stabil, saya mencadangkan anda melihat anggaran 4-6 bulan sekiranya anda boleh menjana jumlah yang sama.

3- Buat perancangan aktiviti bisnes dengan rapi

Selepas berhenti kerja, bermakna 100% masa bekerja kini bertukar kepada merancang dan melaksana aktiviti bisnes. Anda perlu tahu apakah aktiviti yang akan dibuat dalam masa sebulan, dua bulan dan seterusnya. Aktiviti- aktiviti bisnes perlu seimbang di antara kempen pemasaran dan aktiviti jualan. Dan perancangan ini mesti dibuat berbulan- bulan sebelum anda berhenti kerja lagi.

4- Dapatkan sokongan pasangan dan keluarga

Keputusan untuk berhenti kerja adalah keputusan yang besar dalam kehidupan berkeluarga. Anda tidak boleh sewenang- wenangnya meletakkan pasangan dan keluarga dalam ketidaktentuan hanya kerana anda ingin mencapai impian bisnes anda itu. Pastikan anda sudah duduk berbincang dengan pasangan, senaraikan pro dan kontra keputusan anda itu dan ambil peduli semua yang diutarakan dalam perbincangan. Apabila sudah mencapai kata sepakat, barulah anda lebih tenang untuk berhenti kerja.

5- Tingkatkan kemahiran dan pengetahuan

Ramai orang yang baru mulakan bisnes lupa tentang keperluan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan lain yang membantu bisnes mereka berkembang. Ini terjadi kerana mereka terlalu sibuk menguruskan bisnes mereka sendirian. Semakin bisnes mereka maju, semakin sibuk pula mereka dan akhirnya mereka lupa untuk mengasah skil dan menambah ilmu. Pada pendapat saya, bisnes boleh bertukar ganti, ada yang lumayan, ada yang rugi. Akan tetapi skil dan ilmu perlulah sentiasa bertambah dari hari ke hari, kerana inilah caranya untuk kita sentiasa boleh bangun sekiranya satu hari perancangan kita tidak menjadi.

Anda rasa nasihat ini praktikal dan penting untuk diikuti? Kongsi pendapat anda di ruangan komen, atau kongsi link ini dengan rakan yang lain ya!

Subscribe to Blog via Email

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 281 other subscribers

Click Here to Leave a Comment Below

Leave a Reply:

CommentLuv badge