Sejak Perintah Kawalan Pergerakan bermula, kami sekeluarga “terkandas” di kampung saya, dan tidak boleh pulang ke Kuala Lumpur. Walaupun “terkandas” tetapi saya amat bersyukur dengan keadaan sekarang ini, kerana di kampung, kami tidak lah terkurung di dalam kondo sahaja. Di kampung, anak- anak masih boleh keluar ke halaman rumah Emak dan saya sendiri memulakan projek kebun sayur di tepi rumah.
Sebenarnya saya telah pun mula menanam sayur di kondo kami. Dengan kawasan terhad di balkoni, saya mula belajar bercucuk tanam pada tahun 2018. Sempat juga lah kami merasa sedikit hasil, untuk dimakan dalam keluarga saja.
Permulaan minat bercucuk tanam
Mahu lebih serius belajar bercucuk tanam
Kemudian saya berhenti seketika, dan sambung semula pada awal tahun ini. Saya mula berfikir untuk lebih serius belajar bercucuk tanam di rumah, kerana saya melihat ini peluang untuk saya berjimat cermat dalam berbelanja. Lagipun saya fikir, kami hanya keluarga kecil saja, tidak banyak pun perlu ditanam pada satu- satu masa.
Tren berkebun di rumah sebenarnya sudah lama ada di bandar- bandar. Kita boleh lihat sendiri dalam Kumpulan Facebook Kebun Bandar, yang sangat aktif, di mana ahli- ahlinya berkongsi pelbagai pengalaman dan tips memulakan projek bercucuk tanam dalam kawasan yang terhad untuk keperluan keluarga.
Semasa kami pulang ke kampung untuk cuti sekolah, kebanyakan tanaman saya sudah pun melepas fasa bertunas dan mula membesar dengan baik. Saya tinggalkan semua dengan bekalan air dalam plastik yang mungkin boleh bertahan dalam masa 3-4 hari sahaja. Saya tidak berharap pokok- pokok itu akan bertahan, kerana saya anggap ia fasa belajar untuk saya. Tak mahu lah tertekan sangat.
Ditakdirkan bermulanya PKP, maka saya terus let go saja apa yang ada di rumah dan memulakan proses menyemai benih- benih pokok baru, supaya saya boleh bawa pulang ke Kuala Lumpur selepas PKP berakhir. Mana lah saya tahu, rupanya dari PKP 1, kini kita sudah pun masuk PKP 4, saya masih lagi di kampung. Jadi saya kongsikan di sini, perkembangan projek kebun saya mengikut fasa PKP.
PKP Fasa 1, 18- 31 Mac 2020
Saya minta izin Emak untuk mengemas kawasan tepi rumah yang terbiar. Sejak tahun lepas, Emak dan Abah saya tinggal di rumah Abang dan mereka hanya ada di kampung pada hari minggu saja. Jadi ada banyak tanaman keliling rumah yang dah terabai. Saya ambil peluang ini untuk kemas semua dan mula tanam pokok- pokok baru.
Saya semai benih kangkung, bakchoy dan bendi. Saya juga dapat beberapa anak pokok terung daripada rakan saya yang tinggal berdekatan.
Fasa 2 PKP, 1- 14 April 2020
Untuk fasa kedua PKP, benih dan anak pokok yang ditanam telah mula membesar. Alhamdulillah kebanyakan yang ditanam dan disemai berjaya hidup! Saya semai beberapa lagi pokok bendi dan juga benih roselle yang diberi oleh jiran sebelah rumah.
Perkembangan penting dalam fasa kedua ini ialah saya mula belajar buat sendiri baja kompos dengan menggunakan bahan buangan dapur. Emak juga minta saya tambah lagi kawasan untuk menanam bendi, jadi saya bersihkan sedikit ruang baru yang berhampiran.
Fasa Ketiga PKP, 15- 30 April 2020
Pada fasa ini, selain daripada mencabut rumput berhampiran pokok- pokok yang ditanam, saya juga belajar buat batas dengan Emak, dan menyediakan batas untuk biji benih yang saya pesan di Shopee.
Saya beli sedikit baja kopi dan sebotol cuka kayu untuk persiapan mengawal serangan serangga perosak. Baja kompos yang saya cuba buat pun nampaknya berhasil, jadi saya minta kebenaran Emak untuk guna tong lebih besar pula.
Paling seronok, pokok terung dah mula berbunga, dan benih bendi yang disemai oleh anak saya Adeena, telah mula keluar tunas!
Saya menjangka fasa PKP ini akan berlanjutan sehingga selepas hari raya, jadi sekarang ini saya dan Emak sedang merancang untuk menambah kawasan bercucuk tanam. Seronok juga dapat lakukan aktiviti begini dalam tempoh PKP. Sekurang- kurangnya masa boleh diisi, ada hasil dan dapat mengurangkan tekanan akibat tidak boleh ke mana- mana.