December 13, 2017

Jantung Organ Paling Kuat Bekerja Sebelum Kita Lahir Lagi

Petang tadi saya meluangkan masa mendengar ceramah kesihatan, berkisar tentang kesihatan jantung dan otak. Penceramah, Puan Sarah menyebut “Jantung kita adalah organ yang paling kuat bekerja, sebelum kita lahir lagi, jantung dah bekerja, dan masih bekerja”.

Terus buat saya terfikir tentang jantung saya sendiri. Tahun depan, dengan izin Allah, genaplah umur saya 40 tahun. Jika dikira waktu saya dikandung emak, jantung saya sudah berdegup 40 tahun, 9 bulan, lebih kurang. Dengan izin dan kuasa Allah, hari ini di saat saya sudah pun mengharung pelbagai fasa kehidupan, termasuklah menjalani 3 kelahiran, dan jantung saya masih kuat dan sihat.

Menurut Puan Sarah, jantung adalah organ yang paling banyak memerlukan tenaga. Di dalam sel jantung, tenaga sentiasa dicas tanpa henti bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik, pada tahap paling optimum. Untuk memastikan cas- cas tenaga ini sentiasa ada, tubuh manusia memerlukan pelbagai nutrisi setiap hari. Apabila usia meningkat, secara semulajadinya tenaga- tenaga dalam sel boleh merosot, disebabkan oleh penyakit atau faktor pencemaran persekitaran.

Saya bertanya kepada Puan Sarah, jika kita boleh mengelak penyakit, adalah tenaga dalam jantung akan sentiasa dialirkan? Puan Sarah berkata, penyakit akan buat tenaga dalam jantung merosot, tetapi jika tiada penyakit sekalipun, tubuh kita diserang oleh pencemaran hampir setiap saat, setiap hari. Pencemaran ini bukan saja dari luaran, tetapi juga dalaman apabila kita mengalami stress dan memakan makanan yang tidak berkualiti dan bernutrisi tinggi.

Menurut Puan Sarah lagi, walaupun usia meningkat, kita masih boleh memiliki jantung yang sihat dan bertenaga. Kesihatan jantung boleh dipertingkatkan dengan pengambilan  coenzyme Q10 dan makanan yang kaya dengan khasiat polifenol. Coenzyme Q10 akan meningkatkan penghasilan tenaga di dalam sel dan polifenol akan meningkatkan kuantiti mithochondria (kilang tenaga atau seperti spark plug) di dalam sel.

Dan yang paling penting, elakkan gaya hidup yang mempercepatkan kemerosotan jantung seperti tabiat makan yang tidak sihat, merokok dan tidak mengawal stress dengan baik. Perlu juga kita ingat kemerosotan tahap kesihatan jantung di zaman moden ini tidak lagi berkaitan terus dengan usia.  Saya doakan kita semua diberi Allah kesihatan yang baik, sehinggalah Allah jemput kita kembali satu hari nanti.  

xx
Puteri

Facebook Comments

Click Here to Leave a Comment Below

Leave a Reply: