March 1, 2018

Kawal Tekanan Perasaan Untuk Elak Kemaruk Gula

Bulan ini masuk lah bulan ke-6 saya menjalankan kempen No Sugar Challenge di Facebook saya. Sejak bulan Oktober, saya mula buat coaching untuk kawan- kawan yang ada impian nak tinggalkan gula putih dan gula tambahan yang lain dalam menu harian mereka.

Dari bulan Oktober tu, sampai lah hari ini, kawan- kawan ni ada yang dah boleh tinggal gula 100 hari, ada yang sebulan, tapi ramai sangat yang on- off, selang sehari, buat seminggu, kemudian terus tak buat sampai sekarang.

Apabila kami berbual- bual di dalam group WhatsApp, saya dapati kebanyakan kami sebenarnya mampu saja nak tinggalkan gula, belum ada tahap ketagihan kritikal pun.

Tetapi yang amat ketara ialah isu tekanan perasaan, disebabkan oleh persekitaran harian. Antaranya ialah tekanan dalam keluarga dan di rumah, dan tekanan di tempat kerja.

Apabila tekanan ini berlangsung setiap hari, amat sukar untuk mereka memilih makanan yang baik, malah secara automatik mereka akan memilih makanan tinggi gula (termasuklah nasi!)

Mengapa ini berlaku?

Secara fisiologinya, apabila kita berhadapan dengan situasi yang kita tidak suka, atau terpaksa berurusan dengan orang yang tidak sependapat dengan kita, ataupun kita berhadapan dengan masalah kerja atau kewangan, atau kesihatan, tubuh akan mengeluarkan hormon kortisol dan juga adrenalin yang mempersiapkan diri kita untuk melawan atau bertahan.

Tubuh kita tidak kenal samada kita tertekan kerana menghadapi bahaya atau tertekan kerana masalah dengan orang lain, atau disebabkan masalah kesihatan. Tubuh hanya akan rasa tekanan semata- mata. Jadi samada kita tertekan sekejap- sekejap atau sepanjang masa, tubuh sentiasa akan mengeluarkan hormon kortisol tersebut.

Apa kaitan gula dengan paras hormon kortisol?

Dalam keadaan tekanan biasa, tubuh akan mengeluarkan kortisol yang membekalkan glukosa yang memberi tenaga kepada tubuh. Namun begitu, jika tekanan ini berlarutan, glukosa akan dikeluarkan lebih daripada sepatutnya, dan menyebabkan gula dalam darah meningkat.

Paras kortisol yang meningkat juga akan  menyebabkan selera makan bertambah, dan kebiasaannya ketika stress tubuh akan mencari makanan yang boleh meningkatkan hormon dopamine, yang memberikan kelegaan sementara.

Dan gula adalah cara paling mudah untuk meningkatkan paras dopamine dalam tubuh. Kita akan berasa lega, gembira dan tekanan seperti dapat dilupakan seketika.

Namun begitu apa yang merugikan, dopamine dalam otak ini akan kembali merosot, dan tubuh kembali mencari makanan bergula untuk memberi kelegaan. Tanpa kita sedari, tubuh kita terperangkap dalam kitaran yang sama, hari demi hari, tahun demi tahun.

Yang lebih merugikan ialah, pengambilan gula yang banyak setiap hari menjadikan tubuh sentiasa dalam keradangan. Dan keradagan ini pula menyumbang kepada tekanan fisiologi tubuh kita.

Kawal tekanan, kawal gula.

Jika anda hidup dalam persekitaran atau kehidupan yang ada tekanan tinggi setiap hari, cara yang lebih bijak untuk bebas daripada gula berlebihan ialah dengan mengawal tekanan terlebih dahulu. Apabila fikiran tidak tertekan, kita boleh berfikir dengan lebih baik dan mengawal pengambilan makanan harian kita.

Terdapat banyak cara untuk mengawal tekanan harian seperti :

1- Tidur dengan cukup setiap hari.

2- Bersenam

3- Belajar berfikiran positif

4- Belajar cara untuk bertenang

5- Bela binatang peliharaan

6- Keluar bersosial dengan rakan baik

7- Pilih makanan sihat

8- Cari ketenangan spiritual

9- Ambil supplement seperti omega- 3 dan B Complex

10- Belajar untuk jadi versi diri sendiri yang terbaik

Bagi diri saya sendiri, sememangnya tidak mudah untuk saya terus menerus mengawal pengambilan gula harian sejak bulan September tahun lepas. Dan seperti orang lain, saya juga menghadapi tekanan harian, yang adakalanya juga berpanjangan.

Salah satu cara saya mengawal tekanan, seperti yang disebut di dalam senarai di atas ialah dengan pengambilan supplement iaitu omega-3 dan b- complex.

Omega-3 membantu mengurangkan paras kortisol dalam otak apabila berlaku tekanan. Kajian juga mendapati pengambilan asid lemak omega- 3 meningkatkan serotonin di dalam otak yang menyebabkan kita cepat berasa puas dan kenyang ketika makan.

B Complex yang mengandungi thiamine dan niacin membantu memperbaiki mood, dan niacin itu sendiri dapat mengawal paras gula dalam darah. Vitamin B6 pula sangat baik untuk penghasilan serotonin yang membantu tubuh mengawal kerisauan dan tekanan harian.

Saya juga ada menulis lebih info tentang supplement yang saya ambil bagi membantu kawal tekanan untuk elak pengambilan gula berlebihan.

Group FB No Sugar Challenge

Facebook Comments

Click Here to Leave a Comment Below

Leave a Reply: