July 31, 2017

Kepentingan Ruang Jika Bekerja Dari Rumah

Teknologi hari ini yang semakin sofistikated telah membuka peluang kepada ramai orang untuk bekerja di rumah dan mampu menjana pendapatan yang lumayan. Perkembangan positif ini membolehkan ramai orang merealisasikan impian mencapai keseimbangan di antara kareer dan juga keluarga. Kebebasan untuk bekerja di rumah mampu meningkatkan produktiviti, namun begitu ia perlu juga disokong dengan persekitaran bekerja yang sihat dan selesa. Dan antara keseronokan bekerja di rumah ialah kita dapat menentukan sendiri ruang bekerja yang paling selesa dan sesuai dengan jiwa dan cara bekerja. Saya kongsikan di sini 5 panduan ringkas untuk mencipta suasana produktif bagi mereka yang mahu menyediakan ruang bekerja dari rumah.

1- Ruang bekerja tidak bercampur aduk dengan ruang keluarga

Untuk permulaan tidak perlu ada ruang kerja yang luas, atau satu bilik khas untuk bekerja, tetapi cukup ada ruang yang sudah dipersetujui oleh pasangan dan anak- anak bahawa inilah tempat untuk kita bekerja. Letakkan meja dan kerusi khas di satu sudut di dalam rumah, dan tetapkan ruang tersebut supaya tidak diganggu oleh orang lain. Tips penting yang perlu saya kongsikan juga di sini ialah, jika anda mahu orang lain menghormati ruang kerja anda, pastikan anda juga berdisiplin untuk menggunakan ruang tersebut secara konsisten. Jika anda sendiri suka mengubah tempat kerja, sekejap di meja, sekejap di depan tv, agak sukar untuk kita minta ahli keluarga faham dan hormat ruang bekerja tersebut.

2- Pencahayaan dan pengudaraan yang baik

Ada juga yang mengkhaskan tempat bekerja di dalam bilik stor yang gelap dan terperap dengan alasan hanya itu saja ruang yang ada. Percayalah, jika dari awal lagi ruang bekerja tersebut tidak begitu memberangsangkan memang akhirnya kita tidak rajin untuk bekerja di ruang tersebut. Sudah tentu tidak ada salahnya jika anda selesa bekerja di bilik stor, tetapi pastikan ada pencahayaan dan sistem pengudaraan yang baik. Jika bekerja pada waktu siang, lebih baik kiranya anda guna sahaja cahaya semulajadi matahari, dan sangat beruntung jika anda dapat membuka tingkap untuk laluan udara yang lebih segar terutama pada waktu pagi. Dan jika perlu bekerja pada waktu malam, pastikan lampu di dalam bilik adalah terang supaya mata anda tidak cepat letih ketika membaca atau mengadap komputer.

3- Ruang persendirian yang tidak diganggu dan dicerobohi

Ruang bekerja yang tidak diganggu bukan sahaja penting bagi membolehkan kita memberi fokus kepada kerja yang perlu disiapkan, tetapi juga bagi memastikan maklumat penting pelanggan tidak dicerobohi oleh orang lain seperti tetamu yang datang, anak- anak ataupun rakan serumah. Ruang persendirian juga penting jika kerja anda memerlukan anda membuat panggilan telefon ataupun siaran video secara langsung. Jika anda perlu menyimpan rekod- rekod dan dokumen yang dicetak, belilah sebuah almari atau meja berlaci yang boleh dikunci. Fikiran anda juga akan tenang apabila anda tahu yang ruang anda mudah diceroboh oleh orang lain.

4- Kelengkapan yang mencukupi

Saya tidak mahu mencadangkan bahawa ruang kerja di rumah haruslah lengkap seperti di pejabat- pejabat besar tetapi ianya harus menyokong keperluan kerja seharian mengikut kesesuaian cara kerja kita. Ada orang bekerja di rumah tanpa perlu banyak menggunakan pencetak, mesin pengimbas ataupun mesin penyalin. Tetapi jika anda memang perlukan semua ini, dapatkan jenis yang paling mudah digunakan supaya kerja kita tidak tergendala. Kelengkapan yang mencukupi akan menjimatkan masa anda dan juga membolehkan fokus kerja ditingkatkan lagi.

5- Ketepikan gangguan- gangguan

Apabila anda merancang untuk menggunakan sesuatu ruang sebagai tempat bekerja di rumah, pastikan ianya tidak berhampiran atau berkongsi ruang dengan kawasan yang banyak gangguan. Antaranya ruang yang sering ada gangguan ialah seperti ruang menonton tv dan juga ruang makan keluarga. Jika anda menetapkan ruang kerja di dalam bilik pula, pastikan tidak ada banyak keperluan untuk orang lain keluar dan masuk bilik tersebut untuk mengambil atau menyimpan barang. Gangguan- gangguan ini bukan saja boleh mengganggu fokus malah boleh menyebabkan anda tidak lagi mahu menggunakan ruang kerja tersebut.

Subscribe to Blog via Email

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 217 other subscribers

Click Here to Leave a Comment Below

Leave a Reply:

CommentLuv badge