Mengapa Jus Buah Bukan Pilihan Yang Sihat?

Jus buah- buahan semestinya dipandang sebagai pilihan minuman sihat dan ini tidak menghairankan apabila kita sebut saja “buah- buahan” sememangnya kita akan terus mengaitkannya dengan gaya pemakanan sihat.

Namun begitu, tidak ramai yang tahu bahawa jus buah- buahan yang dijual ada kalanya lebih tinggi kandungan gula dan kalori daripada minuman ringan!

Benarkah perisa jus buah itu asli dan sejati?

Tahukah anda, apabila jus daripada buah diperah oleh pengilang, ia tidak terus dibungkus dan dipek (seperti yang kita beli air kelapa, kupas dan terus diminum!).

Jus daripada buah- buah dikumpul dan disimpan sehingga setahun di dalam tangki sebelum ia dibungkus dan dipek. Apabila jus ini disimpan lama, sudah pastinya rasa jus tidak lagi sama seperti jus buah yang diperah segar.

Jadi untuk mendapatkan semula rasa nak sedap dan enak, pengilang akan menambah gula bagi menggantikan rasa sejati yang hilang ketika jus disimpan dan diproses.

Walaupun kita membeli jus yang mahal dan berkualiti, nutrisinya amat jauh berbeza dengan buah- buah yang segar yang dimakan.

Benarkah jus buah kaya dengan pelbagai jenis vitamin?

Apabila jus buah dipasarkan melalui iklan- iklan, salah satu yang akan diberi perhatian yang lebih ialah kandungan vitamin di dalam jus buah tersebut.

Vitamin- vitamin yang disebut dan dipaparkan di dalam iklan dan pada pek pembungkusan jus pastilah merujuk kepada vitamin- vitamin yang secara semulajadi wujud di dalam buah- buah. Contohnya, jambu batu lebih kaya dengan vitamin C berbanding oren. Jadi iklan jus jambu batu akan fokus kepada betapa tingginya vitamin C di dalam jus tersebut.

Hakikatnya adakah kita tahu berapa jumlah vitamin yang terdapat di dalam jus buah yang telah diproses ini?

Adakah ia mencukupi untuk keperluan harian kita?

Perlu juga diambil kira bahawa kebaikan vitamin- vitamin yang disebut ini boleh “terbatal” begitu saja memandangkan kandungan gula yang tinggi di dalam kandungan jus tersebut.

Apa maksud “no sugar added” pada jus buah?

Mengikut peraturan FDA, sekiranya sesuatu produk itu dilabel sebagai “no sugar added” bermaksud ia tidak ditambah dengan gula atau apa- apa gula tambahan lain seperti sirap jagung, molases, sirap malt dan lain- lain.

Tetapi kebiasaannya jus buah yang tiada gula tambahan menggunakan pati buah itu sendiri – bermakna ianya tetap tinggi kandungan gula.

Untuk mendapatkan pati buah, air daripada buah itu dibuang, jadi kandungan gula dalam pati buah boleh jadi 7 kali ganda lebih tinggi berbanding jus biasa. Cara ini digunakan oleh pengilang bagi memudahkan proses penyimpan dan pengedaran. Pati buah yang telah dikumpul, hanya perlu ditambah dengan air dan dipek semula untuk dijual.

Bagaimana pula jika jus buah yang dibuat sendiri di rumah?

Sekiranya kita membuat jus sendiri di rumah, kita boleh mengelak daripada menambah gula tambahan dan kita boleh menyediakan jus segar dan terus boleh diminum.

Buah- buah yang dijadikan jus masih mengandungi vitamin- vitamin, tetapi kita tidak mendapat kelebihan memakan serat yang boleh bertindak sebagai “buffer” supaya gula tidak naik mendadak di dalam darah, dan serat juga membantu sistem penghadaman.

Sekiranya anda mengambil kira tentang jumlah kalori, jumlah buah yang kita guna untuk jus juga biasanya lebih daripada buah yang kita makan begitu sahaja, jadi kita mungkin akan mengambil lebih daripada keperluan kalori harian.

Tips Minum Jus Buah

Terdapat beberapa tips penting yang boleh anda ambil kira sekiranya anda mahu minum jus buah.

1- Elak minum jus buah yang diproses dan dipek – walaupun tanpa gula tambahan, ia tetap tidak segar, dan jauh beza kandungan vitamin berbanding dengan buah- buahan segar.

2- Untuk jus yang dibuat sendiri di rumah, elak menggunakan buah yang sedia tinggi kandungan gula semulajadi kerana biasanya kita akan ambil kuantiti yang lebih banyak daripada keperluan harian. Contohnya untuk segelas jus tembikai, kita pasti akan guna lebih daripada sepotong tembikai, betul kan?

3- Untuk jus yang dibuat sendiri di rumah, elak guna buah sebagai bahan utama, cukup sekadar untuk jadikan ia sebagai pemanis sahaja. Sebaliknya guna sayur- sayur sebagai bahan utama. Contohnya jus celery, bersama timun dan guna buah nanas sebagai pemanis semulajadi.

4- Pilih buah- buah yang rendah kandungan gula semulajadi sekiranya anda sudah ada diabetes, atau yang mahu mengira kalori. Buah- buah yang rendah gula semulajadi adalah seperti epal hijau, jambu batu, raspberries, dan kiwi.

5- Sekiranya anda buat jus secara mengisar (blend, bukan slow juicing), minumlah bersama- sama serat untuk dijadikan buffer supaya gula dalam darah tidak naik dengan mendadak.

Secara peribadi, saya berpendapat, walau apa pun pilihan jus buah anda, pastikan ianya bukan daripada kotak, botol dan pek yang dijual dan dipromosi sebagai sihat dan berkhasiat. Minuman seperti ini tidak lebih dari sekadar teknik pemasaran yang boleh mengelirukan pengguna, malah boleh memudaratkan kesihatan dalam jangka masa yang panjang.


Hubungi Coach Gula untuk bimbingan mingguan.

Facebook Comments

Please Login to Comment.