June 30, 2017

Peluang Bekerja Fleksibel Untungkan Majikan Dan Pekerja.

Baru- baru ini saya menonton iklan di Facebook page Career at Dell, yang memberi gambaran hampir sempurna tentang keseimbangan kerjaya dan keluarga. Di dalam iklan ini, Dell memaparkan rutin harian pekerja syarikat multinasional ini yang bukan sahaja boleh bekerja dari rumah, tetapi dari mana- mana  lokasi di seluruh dunia. Dell berbangga menyatakan di dalam iklan tersebut, “Adakah anda mahu bekerja dari rumah? Lihatlah bagaimana Dell menyediakan cara bekerja yang fleksibel, telah membantu pekerja kami mencapai kehidupan yang sihat dan seimbang”. Seorang pekerja Dell yang ditemuramah berkongsi kegembiraan, katanya, kemudahan bekerja secara fleksibel ini memudahkan beliau menguruskan kerjaya tanpa mengabaikan komitmen berkeluarga.

Sahabat saya yang telah 11 tahun bersama Dell, mengakui bahawa salah satu faktor kesetiaan ramai pekerja terhadap syarikat ini, terletak kepada rutin kerja yang dinamik dan fleksibel. Setiap hari, rutinnya tidak memerlukan dia bergegas ke pejabat untuk masuk tepat pada jam 9 pagi. Mesyuarat dan perbincangan boleh dilakukan secara online, pada bila- bila masa, dengan semua yang terlibat dari pelusuk dunia. Walaupun ada kalanya perbezaan waktu antara negara boleh menjadi cabaran, namun ganjaran bekerja secara fleksibel itu lebih memikat dan menjanjikan kesetiaan kepada syarikat gergasi IT ini.

Terdapat dua persoalan yang terlintar di fikiran saya apabila saya mengamati budaya kerja fleksibel seperti syarikat Dell ini.

Yang pertama, adakah gambaran kerja fleksibel yang diberikan oleh syarikat ini dan juga pengalaman yang dikongsi oleh rakan saya ini seperti terlalu idealistik untuk dinikmati?

Mungkin ramai yang sudah angkat tangan mengalah dari awal lagi, kerana tidak mungkin kerjaya mereka boleh dilaksanakan secara fleksibel begini. Tetapi pernahkah anda terfikir yang cara kerja fleksibel bukan hanya terletak kepada rutin harian pekerjaan tersebut (masuk kerja pagi, pulang apabila lewat petang), tetapi kepada kemudahan- kemudahan lain seperti :

i- Diberi kelonggaran untuk menguruskan keperluan keluarga pada waktu- waktu tertentu. Syarikat FashionValet misalnya memberi kemudahan cuti tanpa rekod selama satu hari pada setiap bulan untuk ibu- ibu di syarikatnya bagi menguruskan keperluan anak- anak, atau sekadar untuk menghabiskan satu hari yang berkualiti dengan anak- anak mereka.

ii- Diberi kemudahan untuk cuti bersalin yang lebih panjang, seperti langkah proaktif yang letak diambil oleh Maybank dan Standard Chartered dalam tahun 2016. Maybank menawarkan cuti bersalin sehingga 12 bulan kepada pekerja yang layak dan Standard Chartered menawarkan 20 minggu cuti bergaji penuh kepada pekerja wanita yang bersalin. Peluang sebegini pasti membantu pekerja menguruskan keluarga dengan baik, dan boleh kembali bekerja dalam keadaan fikiran yang lebih tenang dan terurus.

iii- Diberi kemudahan taska di tempat kerja dengan kos yang tidak membebankan. Isu penjagaan anak- anak adalah sebab utama banyak urusan kerja menjadi langsung tidak fleksibel. Ibubapa perlu mencari taska yang berhampiran dengan tempat kerja (yang kebanyakannya mengenakan yuran yang tinggi) atau menggunakan khidmat pembantu rumah yang juga tinggi kosnya, atau berusaha mencari pengaruh yang berhampiran dengan rumah untuk menjimatkan masa. Dengan adanya in-house taska, keseimbangan kerjaya dan keluarga tidak mustahil boleh dicapai.

Persoalan yang kedua ialah, untuk memperoleh keseimbangan, sudah tentunya kelebihan yang diberikan kepada pekerja mesti mendapat imbal balas yang menguntungkan kepada majikan. Majikan tidak boleh sewenang- wenangnya memberi kemudahan cara kerja fleksibel sekiranya ia boleh mengurangkan produktiviti dan merugikan majikan.

Semakin ramai majikan kini sudah tahu bahawa tahap produktiviti pekerja amat berkait rapat dengan tahap kesihatan fizikal dan mental mereka. Waktu kerja yang rigid, memberi tekanan kepada pekerja, menyebabkan mereka menghadapi masalah hypertensi dan gangguan perasaan. Tahap kesihatan pekerja, baik secara fizikal atau mental, akan memberi kesan langsung kepada semangat dan motivasi kerja mereka. Kitaran ini akan berulang- ulang sehingga akhirnya perniagaan dan syarikat akan menerima kesan yang membebankan. Syarikat yang mengambil langkah proaktif menjaga kesihatan mental dan fizikal pekerja, akan lebih berpeluang untuk meningkat keuntungan dalam jangka masa yang panjang.

Peluang bekerja secara fleksibel juga membolehkan majikan menawarkan peluang kerja kepada golongan yang lebih berbakat. Kebiasaannya pekerja yang mempunyai bakat dan kemahiran, akan  menuntut kelebihan- kelebihan bukan sekadar kepada jumlah gaji dan upah, tetapi juga waktu bekerja yang lebih sesuai dengan mereka, bukan mengikut jadual yang ditetapkan oleh majikan. Bandingkan jika syarikat membayar gaji pekerja tetap berkerja 8 jam sehari, dengan pekerja yang bekerja 4 jam sehari tetapi boleh menghasilkan kualiti yang sama atau lebih baik lagi. Sudah tentu dalam jangka masa panjang, syarikat perlu membuat keputusan untuk memilih jenis pekerja yang mana satu beri lebih keuntungan.

Kelebihan- kelebihan seperti tempoh cuti bersalin yang lebih lama, peluang cuti bergaji untuk sambung belajar, atau bekerja dalam waktu yang fleksibel, boleh meningkatkan kesetiaan kepada syarikat dan majikan. Majikan kini sedar bahawa pekerja yang diberi lebih peluang meningkatkan kualiti kehidupan peribadi mereka akan lebih setia dan memilih untuk kekal bersama syarikat dalam tempoh masa yang lebih lama.

Pekerja dan majikan hari ini juga lebih terbuka apabila berbincang tentang peluang bekerja secara fleksibel ini. Pekerja sudah semakin yakin dan berani menyuarakan hasrat untuk bekerja secara fleksibel dan tidak perlu takut jika dianggap manja, berlebih- lebih atau mahukan layanan istimewa. Ketika memberi cadangan kepada majikan, pekerja akan menyenaraikan jenis kerja, cara kerja, kelebihan dan kekurangan, bersesuaian dengan hasil kerja yang dipersetujui bersama. Bagi pihak majikan pula, mereka mengambil peluang ini untuk menjalankan tempoh percubaan kepada cara kerja yang baru, dan jika ianya berhasil, maka usaha untuk menyelaraskan kepada bahagian- bahagian lain di dalam syarikat akan berjalan dengan lebih lancar lagi.

Subscribe to Blog via Email

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 281 other subscribers

Click Here to Leave a Comment Below

Leave a Reply:

CommentLuv badge