Saya menonton live stream di laman Facebook rasmi MERCY Malaysia, berkaitan Covid-19 dan penjagaan pesakit kronik oleh Dr. Feisul Idzwan Dato’ Mustapha – Consultant Public Health Physician and Deputy Director, Non Communicable Diseases, Ministry of Health Malaysia.
Dr. Feisul memberi contoh pesakit diabetes dalam perbincangan ini, kerana majoriti pesakit diabetes juga adalah pesakit kronik yang lain seperti hypertensi (darah tinggi) dan mengidap penyakit jantung.
Antara perkara penting yang dikongsi oleh Dr. Feisul ialah :
1) Penjagaan kebersihan diri perlu diambil perhatian sepenuhnya.
2) Pastikan pesakit mesti ada tahap kawalan baik untuk :
– paras gula (HBA1C)
– tekanan darah
– paras kolesterol
– berat badan
3) Kawalan baik ini penting kerana kita mahu kurangkan komplikasi dari hujung rambut ke hujung kaki – rabun/ buta, serangan jantung, masalah buah pinggang, mati pucuk, masalah luka lambat sembuh, masalah saraf kaki.
4) Doktor yang merawat mesti ada kebolehan dan pengetahuan untuk memberi khidmat nasihat supaya pesakit dapat buat kawalan yang baik.
5) Pesakit mesti ada akses ke klinik, temujanji berjumpa doktor.
6) Paling penting ialah PESAKIT ITU SENDIRI. Pesakit mesti ambil tanggungjawab supaya TINGKAHLAKU sendiri menyokong kesihatan yang baik. Makan ubat, makanan seimbang, kawal stress, merokok atau tidak, kekal aktif atau tidak.
7) Faktor tingkahlaku sangat dipengaruhi oleh ahli keluarga dan persekitaran.
8) Doktor yang merawat juga adakalanya sukar memahami/ empati kepada cabaran yang dihadapi oleh pesakit.
9) Pesakit kronik bukan saja mesti bersedia sekarang (fasa PKP dan juga 2-3 bulan selepas PKP).
10) PESAKIT KRONIK JANGAN KELUAR RUMAH. Ahli keluarga mesti bantu supaya pesakit kronik tak perlu keluar rumah dan jangan sesekali dedahkan pesakit kepada risiko jangkitan Covid-19. Jangan mudah benarkan orang datang rumah!
11) PASTIKAN BEKALAN UBAT CUKUP. Klinik kesihatan kerajaan dan swasta masih dibuka. Walaupun temujanji ditunda, klinik tetap dibuka, dan boleh hadir jika perlu. Sekurang- kurangnya ada stok untuk 2 minggu. Minta ahli keluarga ambilkan ubat. Klinik & hospital kerajaan ada menyediakan pilihan untuk ambil ubat, termasuk melalui pos.
12) Pesakit diabetes mesti ada MESIN GLUCOMETER di rumah. Ambil bacaan harian dan pantau bacaan. Lebih baik jika ada juga mesin tekanan darah.
13) Jika tidak sihat, seperti batuk, selesema dan demam, jumpa doktor dengan segera. Pesakit diabetes yang tidak kawal penyakitnya, sangat berisiko untuk dapat jangkitan kuman (walaupun di luar musim wabak).
14) Dalam keadaan PKP, stress boleh meningkat. Stress akan menyebabkan kawalan penyakit tidak baik. Makan tidak teratur atau terhad di waktu PKP, tiada bekalan buah & sayur yang segar, kerap makanan terproses, masa makan tidak menentu – meningkatkan lagi stress.
15) Kesihatan mental sangat penting untuk pesakit diabetes, kerana ini punca kepada kawalan penyakit, samada lebih baik atau lebih buruk.
16) Golongan yang juga berisiko ialah warga emas yang tinggal bersendirian, dan tidak ada yang menjaga mereka. Kita mesti proaktif untuk menghulur bantuan – adakah mereka ada bekalan makanan, ada bekalan ubat, boleh ke klinik dan sebagainya.
17) Walaupun PKP akan berakhir, kita tidak tahu berapa lama Covid-19 akan terus berada di dalam komuniti kita. Jadi pesakit kronik harus terus mengambil langkah- langkah yang sewajarnya.
Kepada anda yang terkesan secara psikologi kerana bimbangkan kesan kepada penyakit kronik diri sendiri ketika wabak Covid-19, boleh hubungi pusat sokongan psiko-sosial Covid-19 MERCY Malaysia – 03- 2935 9935
Kongsilah info penting yang diberikan oleh Dr. Feisul ini dengan ahli keluarga dan kenalan, supaya pesakit kronik tahu apa yang mereka boleh lakukan untuk mengawal penyakit masing- masing di waktu krisis seperti sekarang ini.