February 14, 2018

5 Kesan Perubahan Hormon Di Usia 40-an

Dalam saya sibuk perhatikan perubahan kulit saya sekarang ni, saya boleh terlupa dengan satu lagi isu penting untuk wanita seusia saya ni, iaitu perubahan hormon! Macam tak percaya je, saya dah masuk fasa pre- menopos, dan kalau dipanjang usia, saya akan merasa pula fasa menopos, adui seram!

Perubahan hormon wanita pada usia 40-an adalah yang paling penting untuk diambil peduli, memandangkan banyak sekali perkara berlaku pada tubuh wanita, berkait rapat dengan hormon. Dan inilah waktunya wanita dah kena ambil tahu tentang apa yang akan berlaku menjelang menopos nanti.

5 Perkara Yang Berlaku Dalam Tubuh Wanita Akibat Perubahan Hormon

1- Jumlah kitaran haid akan jadi lebih pendek berbanding ketika berusia 20-an dan 30-an. Secara purata pada usia 20-an, kitaran normal adalah 31 hari, pada usia 30-an, kitaran normal adalah 28 hari, dan pada usia 40-an, kitaran normal sekitar 24-27 hari.

2- Kesuburan akan merosot. Walaupun pada tubuh wanita yang sihat, jumlah telur dalam tubuh wanita pada usia ini akan semakin berkurang. Namun begitu ramai wanita masih lagi subur sehingga 45 tahun ke atas, tetapi kebiasaannya pada usia ini wanita memang kurang subur dan mudah juga mengalami keguguran.

3- PMS akan lebih ketara dan menjadi masalah. Oleh kerana pada usia 40-an, biasa berlaku kitaran haid tidak menentu dan paras progesterone pun semakin rendah, mudah untuk wanita mengalami mood swing, kemaruk makan, sukar tidur dan mudah marah.

4- Perubahan haid. Ada wanita mengalami haid yang sedikit dan cepat habis. Ada wanita mengalami haid yang lebih banyak dan semakin lama. Dan ada yang tidak mengalami perubahan ketara, tetapi kitaran haid semakin pendek. Untuk wanita dalam kategori terakhir ini, biasanya mereka tidak mengalami banyak masalah menjelang pre- menopos.

5- Masalah kesihatan berkaitan hormon seperti cyst dan fibroid menjadi lebih serius, memandangkan masalah- masalah ini berkaitan dengan perubahan hormon dalam tubuh wanita. Sekiranya ia berlanjutan di usia 40-an, ia boleh menjadi lebih sukar dikawal dan dirawat.

Jadi, apakah yang boleh kita lakukan sebelum atau semasa menempuh perubahan- perubahan ini?

Jika di usia 30-an kita masih boleh sedikit culas dengan kesihatan dan gaya hidup, pada usia 40-an, kita sudah tidak boleh lagi main- main. Ini adalah usia terbaik untuk kita bersiap sedia dengan pemeriksaan kesihatan, menukar gaya hidup ke arah yang lebih sihat dan aktif, serta mengawal stress harian.

Namun begitu berita baiknya, jika pada usia ini wanita dapat memberi tumpuan kepada kesihatan, dan kesejahteraan menyeluruh, inilah waktu kemuncak wanita berasa yakin dengan diri dan boleh mencapai apa saja yang mereka fokuskan. Pada usia 40-an, hidup yang sempurna, baru saja bermula.

Facebook Comments

Click Here to Leave a Comment Below

Leave a Reply: