December 23, 2017

Sungguh, Health Is Wealth

Malam ini saya buat refleksi melihat keseluruhan tahun 2017 yang bakal berlalu, dan satu perkara yang amat saya syukuri tahun ini, tiada ahli keluarga yang kena penyakit serius, dimasukkan ke wad dan seumpamanya. Sekadar batuk, selesema dan demam biasa saja. Syukur Alhamdulillah.

Ini membuatkan saya mengimbai peristiwa satu petang dalam tahun 2016…

Sepanjang minggu itu saya dan suami tidak berapa bertegur sapa. Saya tak ingat apa isu asalnya, tapi suasana di rumah agak tegang. Sehinggalah satu hari dalam minggu yang sama, suami bergegas ke hospital, mengesyaki dirinya terkena serangan jantung.

Di saat saya menerima panggilan telefon daripada suami yang sedang dipantau di bilik kecemasan HKL, saya terduduk dan tidak mampu berfikir. Saya teruskan mengemas dapur dan buntu tidak tahu apa nak buat. Sebahagian daripada diri saya tidak mahu percaya yang ianya serangan sakit jantung.

Tak mungkin kata hati saya. Suami saya ketika itu sudah dua tahun berhenti merokok. Namun saya tidak menafikan risiko tetap ada kerana berat badannya berlebihan dan paras kolestrol pun tidak seimbang LDL dan HDL.

Anak- anak bertanya, Ayah OK ke? Apa kita nak buat ni Mama?

Ketika itulah baru saya terfikir. Oh apa kata kita ke hospital, jom lekas kita bersiap. Kemudian saya terfikir, mungkin biar saya seorang saja ke hospital, lantas saya telefon adik ipar, dan minta ambil anak- anak di rumah.

Saya tiba di bilik kecemasan hospital, dan suami sedang berbaring. Dia berusaha untuk nampak tenang, tapi saya boleh baca, itulah wajah yang sedang kerisauan. Tidak lama kemudian semua ahli keluarga pun sudah sampai di HKL menanti keputusan ujian ECG yang telah dilakukan oleh doktor bertugas.

Saya kemudian keluar dari wad kecemasan, dan menunggu di luar bersama mertua. Hampir sejam kami menunggu, tiba- tiba suami berjalan keluar dari wad kecemasan. “Doktor suruh balik, nanti follow up. Jantung semua OK”

Allahu akbar! What a scare!

“Jadi apa sebenarnya??” Sudah tentu saya mahu tahu lebih lanjut.

“Kena follow up lagi, doktor tak boleh buat confirm apa- apa. Tapi jantung all OK”

Minggu- minggu seterusnya kami ke klinik kesihatan untuk beberapa pemeriksaan, dan akhirnya doktor memang rule out 100% serangan jantung. Terakhir sekali doktor menerangkan kepada suami, kemungkinan besar suami kena acute gastric attack pada hari kejadian.

Tak pernah pula terfikir yang simptom serangan gastrik agak serupa dengan serangan sakit jantung. Menurut suami, ketika kejadian, jantungnya berdebar kencang, dan mula berpeluh sejuk. Dia cuba untuk bertenang, tetapi debaran tidak reda, dan dia mula cemas.

Oleh kerana sebelum ni dia pernah membaca tentang tanda- tanda serangan sakit jantung, dia tidak tunggu lama, terus minta tolong ayahnya bawa ke hospital untuk rawatan kecemasan.

Sedang dia rancak bercerita, yang saya fikirkan hanya satu,

“Kalaulah…Ya Allah…Alhamdulillah…”

xx
Puteri 

Facebook Comments

Click Here to Leave a Comment Below

Leave a Reply: