Makin Berusia, Makin Tinggi Kolestrol

Menurut statistik tahun 2016 Kementerian Kesihatan Malaysia, sejumlah 9.1 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas mempunyai paras kolesterol tinggi di dalam darah. Paras kolesterol yang tinggi dan tidak seimbang ini adalah faktor utama kepada kejadian strok, penyakit koronari dan sakit jantung. Institut Jantung Negara pada tahun 2015, merekodkan pesakit paling muda diserang sakit jantung akibat kolesterol tinggi, berusia hanya 19 tahun.

Bagaimana Kolesterol Terhasil?

Terdapat dua cara kolesterol wujud dalam tubuh badan manusia. Pertama, kolesterol secara semulajadi dihasilkan tubuh terutamanya oleh hati  dan kedua kolestrol yang berpunca daripada makanan. Samada secara semulajadi atau daripada makanan, kolesterol diproses di hati, samada untuk digunakan atau disingkirkan. Kolesterol diperlukan oleh tubuh untuk menghasilkan hormon, vitamin D dan enzim yang diperlukan untuk pencernaan.

Kolesterol jahat (LDL) yang berlebihan, akan melalui salur darah dan boleh tersangkut dan berkumpul, lantas menjadi plak. Plak yang terkumpul boleh menjadi tebal dan akhirnya menyumbat saluran darah, yang boleh menyebabkan strok dan serangan jantung.

Semakin Tua, Kolesterol Semakin Meningkat?

Secara semulajadinya, apabila tubuh manusia semakin tua, fungsi hati akan semakin merosot. Apa yang berlaku ialah darah semakin kurang dan semakin perlahan mengalir ke hati, menyebabkan LDL meningkat. Namun begitu keadaan ini berlaku kepada golongan yang berusia 50 tahun ke atas.

Bagi golongan yang lebih muda tetapi sudah menghadapi masalah kolesetrol dalam darah yang tidak seimbang, terdapat 3 faktor utama yang menjadi punca iaitu :

1- Pemakanan Tidak Sihat

Walaupun hati menghasilkan kolestrol secara semulajadi, jenis makanan yang kita ambil masih menjadi punca utama paras kolesterol tidak dapat diseimbangkan.

Makanan yang menjadi punca kolesterol jahat (LDL) meningkat ialah makanan segera dan terproses yang tinggi dengan lemak trans dan gula. Apabila makanan jenis ini menjadi hidangan harian, hati akan memprosesnya dan LDL akan lebih banyak terhasil, dan dilepas ke dalam salur darah.

Ini yang sering menjadi salah faham di kalangan mereka yang mahu menurunkan paras kolesterol di dalam darah. Mereka mencari ikhtiar mengurangkan kolesterol dengan beberapa jenis makanan yang baik dan supplement, tetapi tidak berhenti mengambil makanan yang tinggi dengan lemak trans. Jadi usaha mereka sering menjadi sia- sia dan tidak dapat melihat perubahan yang baik dalam bacaan kolesterol mereka.

Makanan yang tinggi dengan lemak trans akan menyebabkan kolesterol baik (HDL) akan merosot, seterusnya menyebabkan kolesterol jahat (LDL) melebihi jumlah HDL. Semakin banyak lemak trans dimakan, semakin susutlah HDL dam LDL akan berkumpul di dalam salur darah sehingga terbentuknya plak.

2- Fungsi Hati Tidak Sihat

Fungsi hati perlu diambil berat apabila bercakap tentang keseimbangan kolesterol. Oleh kerana kolesterol dihasilkan di hati dan dilepaskan ke dalam darah melalui hati, kesihatan organ ini akan mempengaruhi paras kolesterol dalam tubuh.

Antara punca yang menyebabkan fungsi hati terganggu ialah penyakit hati berlemak (fatty liver). Penyakit ini berpunca daripada lemak berlebihan dalam badan, yang menyelaputi organ utama seperti hati. Hati merupakan organ kedua terbesar di dalam tubuh dan ia bekerja keras memproses semua makanan yang masuk ke dalam tubuh dan menapis toksin supaya tidak memasuki ke dalam darah.

Apabila hati diselaputi lemak lebih daripada normal, fungsinya untuk memperoses makanan dan menapis toksin akan terganggu dan menyebabkan paras kolestrol menjadi tidak normal. Tabiat merokok yang menyebabkan hati dipenuhi toksin, juga menjadi faktor bacaan kolestrol sukar untuk diperbaiki.

3- Obesiti

Walaupun tidak semua orang yang gemuk itu mengalami masalah kolesterol, badan yang obes dengan mudah akan meningkatkan paras kolesterol jahat (LDL) di dalam darah dan pada masa yang sama menyebabkan kolestrol baik (HDL) akan merosot. Bagi sesetengah individu, paras kolesterol dalam tubuh hanya dapat diseimbangkan apabila berat badan berjaya dikurangkan sehinggal mencapai BMI yang normal.

Empat Langkah Seimbangkan Bacaan Kolestrol Dalam Darah

Kajian mendapati, jika pada usia muda seseorang itu sudah menghadapi masalah kolesterol, risiko untuk terkena serangan jantung dan strok akan meningkat seiring dengan usia. Usaha bagi memastikan paras kolesterol yang seimbang perlu menggunakan pendekatan yang menyeluruh dan tidak boleh bergantung kepada satu atau dua petua semata- mata.

1- Berhenti ambil makanan yang menjadi punca LDL meningkat dalam darah seperti makanan terproses  yang penuh dengan lemak trans. Makanan terproses bukan terhad kepada snek sahaja, tetapi juga di dalam makanan yang dimasak seperti di dalam gambar di bawah.

 

2- Amalkan makanan yang boleh meningkatkan kandungan HDL dalam darah seperti makanan yang kaya dengan kandungan asid lemak omega-3 seperti ikan, minyak zaitun. Makanan yang tinggi dengan plant sterol yang banyak terdapat dalam sayur, buah, bijiran dan kekacang dapat menyekat kolestrol daripada memasuki salur darah seperti yang ditunjukkan dalam gambar di bawah.

3- Berusaha dapatkan berat badan yang sihat. Dalam program mengurangkan berat badan yang anda pilih, pastikan menu yang dicadangkan dapat meningkatkan paras HDL dengan pengambilan asid lemak sihat seperti minyak zaitun, avocado dan asid lemak omega-3. Lebihkan pengambilan sayur dan buah, bijiran dan kekacang dalam menu harian anda. Program diet High Fats Low Carbs sesuai dengan anda yang mahukan bacaan kolesterol LDL & HDL yang seimbang.

4- Baiki fungsi hati yang merupakan organ yang bertanggungjawab mengawal kadar kolesterol di dalam tubuh kita. Hati yang berlemak dan terlalu banyak toksin akan mengganggu tugas hati untuk menghasilkan kolesterol yang seimbang.

Facebook Comments

Please Login to Comment.