Dua minggu lepas saya dan sahabat saya Aishah Amin, ditemubual oleh wartawan Bernama bagi berkongsi pengalaman kami sebagai “work at home mothers” selama lebih 4 tahun.

Berikut adalah petikan artikel yang ditulis oleh wartawan Murni Nasri.

Link asal DI SINI :

Kegembiraan Ibu Bekerja Di Rumah

Oleh Murni Nasri

KUALA LUMPUR, (Bernama) — Wanita berpendidikan tinggi, berjawatan besar, merantau ke pelusuk dunia atas nama kerja dan pada masa yang sama berusaha membina sebuah keluarga bukan lagi satu fenomena asing.

Ia sudah menjadi sesuatu yang sangat biasa di dalam kehidupan kekeluargaan di Malaysia sehinggakan wanita yang berpendidikan memang diharapkan dan dijangkakan untuk memiliki kerjaya.

Namun fitrahnya wanita yang juga seorang ibu tidak boleh dinafikan atau digantikan dengan kejayaan dan pencapaian-pencapaian kerjaya yang dibawa pulang kerana nalurinya ibu adalah untuk mengulit anak-anak, terutamanya apabila anak-anak itu masih kecil.

Itulah yang mungkin dirasai oleh Puteri Rahayu Megat Mohamed Yusof, 39 dan Aishah Mohd Amin, 38.

Puteri Rahayu dan Aishah masing-masing pernah menjawat jawatan penting dalam organisasi bukan kerajaan yang memerlukan mereka mengembara ke luar negara semasa bertugas tetapi meletakkan jawatan bagi memberikan tumpuan penuh terhadap pembinaan keluarga mereka.

BEKERJA DARI RUMAH

Puteri Rahayu yang memiliki tiga orang anak yang berusia dua tahun sehingga 8 tahun mengambil keputusan melepaskan jawatan yang disandang setelah hampir tujuh tahun berkerjaya untuk bersama anak-anaknya pada tahun 2013.

“Kerjaya yang dahulu memerlukan saya ‘travel’ dalam dan luar negara jadi saya menetapkan untuk mencari peluang bekerja dari rumah sebelum anak sulung saya memasuki Tahun Satu kerana anak-anak pasti memerlukan perhatian dan masa yang lebih dalam usia persekolahan,” kata Puteri Rahayu melalui emel kepada Bernama.

Sentimen yang sama turut dirasai oleh Aishah, ibu kepada dua anak perempuan dan seorang anak lelaki kerana menurut beliau untuk mengembangkan kerjayanya beliau perlu lebih banyak membuat tugasan di luar negara.

“Kerjaya saya sudah ‘stuck’ dan sukar dikembangkan…dan memandangkan saya tidak betah untuk tidak berkembang, maka saya berhenti untuk memberi fokus kepada bisnes dari rumah,” kata Aishah.

Beliau yang mempunyai pengalaman selama 12 tahun bekerja di dalam bidang kemanusiaan kini lebih bahagia bergelar pemasar internet dan usahawan dari rumah.

GALAU DI JIWA

Seperti Aishah, Puteri turut bekerja dari rumah dengan menjalankan perniagaan jualan langsung atas talian secara sepenuh masa.

Kedua-dua wanita ini mempunyai kebimbangan-kebimbangan yang sama setelah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan bekerja dari rumah.

“Secara jujurnya, saya bimbang jika perniagaan yang saya jalankan tidak menjadi, kerana ia bermakna kami akan kehilangan separuh daripada punca pendapatan keluarga.

“Saya menetapkan pendirian dengan berfikir bahawa saya lakukan ini kerana mahu mendahulukan keluarga, jadi saya yakin niat yang lurus akan diberi kemudahan oleh Allah untuk saya mencapainya,” kata Puteri Rahayu.

Aishah pula masih dibayangi kebimbangan itu walaupun sudah tiga tahun berniaga dan bekerja dari rumah.

IMPAK POSITIF

Tidak dinafikan faktor utama yang diambil kira oleh kebanyakan ibu-ibu untuk bekerja dari rumah walaupun kerjaya mereka sebelum ini mampu menyara kehidupan sekeluarga adalah untuk mendapatkan masa yang lebih untuk anak-anak.

Bagi Aishah dan Puteri Rahayu, keputusan yang mereka ambil untuk bekerja di rumah memberikan impak yang amat positif kepada diri mereka, suami dan yang paling penting kepada perkembangan anak masing-masing.

“Saya memang menyerahkan seluruh tugas penjagaan kepada pusat asuhan anak-anak kerana pergi kerja seawal 7.30 pagi dan pulang jam 8 malam. Anak yang masih menyusu juga harus dibekalkan dengan susu yang cukup dan saya makin tidak mampu,”kata Aishah.

Setelah meletakkan jawatan, Aishah mula menjaga sepenuhnya anak-anak beliau, hasilnya tiada lagi masalah susu tidak cukup atau kesuntukan masa bersama mereka, selain mendapat sokongan daripada suami yang katanya gembira dengan keputusan yang diambil memandangkan mereka dapat makan makanan masakan sendiri yang lebih sedap, ekonomi dan sihat.

Puteri juga mendapat sokongan daripada suami, ibu bapa dan ibu bapa mertua kerana mereka tidak perlu lagi risau dengan keselamatan dan kebajikan cucu-cucu mereka terabai sekiranya dihantar ke taska atau rumah pengasuh.

ANAK-ANAK LEBIH GEMBIRA

Menurut Aishah, meletakkan jawatan yang disandang merupakan satu keputusan yang mempunyai pengaruh yang besar terhadap mempengaruhi perkembangan dan tumbesaran anak-anak beliau.

“Bagi saya, anak saya membesar dengan gembira kerana ibu sentiasa ada di rumah. Pernah ada yang memberitahu anak saya tidak banyak ragam dan nampak gembira. Saya sedar mereka tidak perlu melalui pagi-pagi seperti kakak sulung mereka bila saya terpaksa tinggalkan di pusat asuhan dengan tergesa-gesa,” kata Aishah.

Bagi Puteri Rahayu pula pada awalnya anak-anak keliru apabila melihat beliau sudah tidak bekerja kerana mereka sudah terbiasa setiap pagi keluar rumah dan dihantar ke rumah pengasuh.

“Saya berterus-terang dengan anak-anak, bahawa saya masih bekerja, cuma kali ini saya tidak perlu ke pejabat. Itu sahaja bezanya.

“Anak sulung saya seorang ‘picky eater’ jadi ianya memang menjadi satu kerisauan kepada saya tetapi sejak bekerja di rumah, saya boleh menguruskan pemakanan anak-anak dengan lebih baik dan lebih banyak makan di rumah berbanding di luar dan apabila anak-anak mula bersekolah, saya dapat menyediakan makanan yang dia ingin makan setiap hari dan saya tidak bimbang lagi jika dia tidak makan dan tidak berselera,” kata Puteri Rahayu.

FAEDAH TIDAK DIJANGKA

Selain dapat memberikan perhatian sepenuhnya kepada anak-anak dan masa berkualiti yang sememangnya hak mereka, ibu-ibu yang bekerja dari rumah seperti Puteri Rahayu dan Aishah ini juga merasakan mereka lebih bijak dalam menguruskan masa dan memiliki kesabaran yang tidak pernah disangka ada di dalam diri.

“Saya benar-benar tidak menyangka yang saya punya kesabaran untuk menguruskan anak-anak sambil bekerja di rumah. Saya boleh katakan yang faedah terbesar untuk diri sendiri adalah apabila tingkat kesabaran meningkat dua, tiga takuk,” kongsi Puteri Rahayu.

Manakala Aishah memberitahu yang beliau boleh sahaja melepaskan semua yang dilakukan pada ketika itu dan memberikan tumpuan terhadap anak-anak apabila mereka jatuh sakit dan terpaksa dimasukkan ke wad.

“Saya tiada masalah cuti dan majikan yang akan mencari di waktu sebegitu dan saya juga boleh memberikan bantuan jika ada ahli keluarga yang memerlukan pada waktu bekerja,” katanya.

Beliau turut menambah, apabila bekerja di rumah, beliau memahami kepentingan menghargai masa kerana setiap detik adalah duit menyebabkan beliau belajar melakukan aktiviti yang berbaloi dan menjana pendapatan dalam tempoh masa yang ada.

PANDANGAN PENGAMAL PENJAGAAN KANAK-KANAK

Menurut jurulatih dan konsultan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Nor Azura Ismail, ibu-ibu yang bekerja di rumah tidak dinafikan dapat memberikan didikan dan asuhan terus kepada anak-anak di samping dapat sentiasa memantau pergerakan anak-anak di depan mata.

“Anak dibesarkan dalam persekitaran rumah sendiri yang lebih selamat dari pelbagai aspek dan para ibu ini tidak perlu risau akan keperluan anak-anak mereka kerana semuanya sudah tersedia terus dari rumah,” kata Nor Azura.

Namun apabila dilihat daripada sudut pandang yang lain, anak-anak yang mempunyai ibu yang bekerja di rumah berkemungkinan kurang pandai bersosial, mereka mungkin pendiam, pemalu atau kurang berdikari kerana masa dihabiskan bersama ibu sahaja.

Menurut Nor Azura, perkara yang perlu diambil kira oleh para ibu yang bekerja dari rumah adalah sama ada mereka memiliki asas kemahiran pendidikan awal kanak-kanak di mana para ibu ini berpengetahuan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti bersama anak-anak yang mampu membantu menggilap potensi dan menjana perkembangan anak-anak mereka.

“Pada pandangan saya, anak juga patut diberi peluang dan pendedahan bersama dengan rakan-rakan sebaya di taman asuhan kanak-kanak yang menitikberatkan potensi diri anak-anak kerana di sana mereka berpeluang bergaul, bercerita dan bermain sepuas-puasnya,” kata Nor Azura.

Para ibu yang bekerja di rumah disarankan menggali ilmu berkaitan pendidikan awal kanak-kanak agar anak-anak mereka tidak terlepas peluang meneroka zaman kanak-kanak sepuas hati dengan mengikuti bengkel-bengkel kemahiran keibubapaan.

“Pendidikan anak awal usia bukan setakat memberikan asuhan dan menjaga keperluan dirinya kerana ianya lebih daripada itu iaitu membantu menggalakkan potensi diri anak-anak dari semua aspek.

“Ia juga bukanlah bermaksud memberi pendidikan akademik awal tetapi menggalakkan tahap perkembangan menyeluruh seorang anak,” katanya.

–BERNAMA

Subscribe to Blog via Email

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 7 other subscribers