January 11, 2018

Tiga Kemahiran Wanita Perlu Gilap Secepat Mungkin

Dua hari lepas saya berbual dengan sahabat saya, berkisar cerita beza kehidupan kami dulu dan sekarang. Sahabat saya seorang suri rumah ada dua orang anak remaja, dan saya ada tiga orang anak, semuanya masih kanak- kanak Ribena lagi!

Sahabat saya bercerita, dulu waktu anak- anak masih bayi, hidupnya susah. Dia tidak mengulas panjang, tetapi apabila dia berkata “Dugaan paling berat semasa anak- anak ni  masih kecil”, saya boleh faham dia tidak mahu bercerita panjang. Mungkin terlalu peribadi dan sensitif. Kini, alhamdulillah, dia masih seorang surirumah, tetapi bukan surirumah biasa. Sahabat saya punya pendapatan sendiri apabila memulakan perniagaan dari rumah sejak 4 tahun yang lepas.

Cerita sahabat ini jauh berbeza dengan saya.

Semasa anak pertama, hidup ketika itu boleh dikatakan senang. Kami menyewa rumah yang murah, dan perbelanjaan bulanan pun tidak tinggi. Saya bekerja dan ada gaji sendiri, dan bebas untuk buat apa saja dengan gaji saya. Betul- betul definisi wanita bekerjaya.

Apabila muncul anak kedua, selain ada kerjaya, saya juga dah mulakan perniagaan dari rumah secara sambilan dan Alhamdulillah, duit tidak lagi jadi masalah. Kerjaya saya juga di peringkat yang sangat memberangsangkan, dan selepas melahirkan anak kedua itulah saya dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jabatan. Rezeki daripada perniagaan sampingan juga semakin mencurah- curah.

Namun, semestinya hidup kita tidak akan pernah sempurna. Apabila duit bukan lagi masalah, pasti ada cabaran yang lain pula. Saya berhadapan dengan cabaran untuk membesarkan mereka apabila terpaksa outstation dengan kerap, di dalam dan luar negara. Masa adalah halangan setiap hari. Dan untuk melawan halangan, hari- hari saya begitu sibuk dan terkejar- kejar.

Kini setelah 4 tahun saya meninggalkan alam kerjaya dan fokus sepenuhnya kepada perniagaan, muncul pula cabaran- cabaran yang lain. Bekerja di rumah boleh jadi sesuatu yang sempurna untuk diri seorang ibu, tetapi ada masanya buat kita nak lari dari rumah pula!

Mana tidaknya, saat kita baru saja mahu duduk dan bekerja, si kecil akan masuk ke bilik dan meminta itu dan ini. Saya dilanda rasa bersalah hampir setiap hari apabila berkata “Kejap yer, Mama siapkan ni dulu, lepas tu Mama buat untuk Adik”.  Dan percayalah, pasangan pun sering keliru, isteri tu sedang bekerja atau sedang hmmm main Facebook?

Tetapi saya fikir kalau hidup dalam keadaan rasa bersalah pun sampai bila kita boleh lebih maju. Hidup ini datang dengan pakej. Ada masa susah, ada masa senang, ada masa kita tidak tahu apa yang kita mahu.

Cabaran ekonomi dalam 2 tahun kebelakangan ini bukan saja beri kesan kepada ibu- ibu surirumah seperti sahabat saya tadi, tetapi juga kepada wanita- wanita bekerjaya dalam kategori pertengahan. Seorang lagi sahabat saya berkongsi cerita, katanya setakat gaji beliau hampir 7 ribu sebulan, pun belum boleh selesa disebabkan oleh kos pengangkutan pergi balik kerja yang agak jauh, kos jagaan dan persekolahan anak- anak yang meningkat, harga makanan dan minuman yang semakin mahal  dan sebagainya.

Jadi tidak hairanlah semakin menjadi kebiasaan untuk golongan ibu bekerjaya ini memilih peluang menambah pendapatan. Dan pada pendapat saya, untuk tambah pendapatan, kita tidak boleh lagi selesa tanpa belajar kemahiran- kemahiran baru.

Saya cadangkan di sini 3 kemahiran penting untuk wanita jika mereka mahu menambah pendapatan.

Pertama, kemahiran menulis. Lupakan saja angan- angan nak tulis buku yang tebal- tebal tu, tapi fokus kenapa yang lebih simple seperti menulis di blog dan mula jana pendapatan. Ada ramai personaliti hebat yang mula bina profil mereka di blog seperti Vivy Yusof dan Hanis Zalikha. Saya meniru banyak perkara daripada personaliti- personaliti di blog untuk bina kerjaya sebagai blogpreneur.

Kedua, kemahiran beri khidmat nasihat. Lihat latarbelakang kerjaya anda sekarang, dan cuba fikir “Bagaimana aku boleh beri nasihat kepada orang lain menggunakan latarbelakang kerjaya ku ini?” Bermula dengan perkongsian tidak formal, jika dirancang dengan baik, satu hari nanti orang akan bayar anda untuk dapatkan rundingcara. Cara untuk bina pendapatan yang paling stabil ialah dengan berusaha mengajar orang lain untuk  bina pendapatan juga.

Ketiga, kemahiran “bermain” di media sosial. Personaliti yang positif dan menarik di media sosial sebenarnya adalah LUBUK WANG. Ramai yang tidak sedar tentang ini dan hanya menghabiskan masa membaca kisah orang lain, tanpa mendatangkan hasil. Fokus belajar selok belok pemasaran konten dan jadikan diri kita sendiri sebagai bahan yang dinanti- nantikan oleh pengguna media sosial yang lain.

Yang bagusnya, pada pendapat saya, ketiga- tiga kemahiran ini boleh dilakukan secara sampingan terlebih dahulu. Dan apabila ianya berkembang, percayalah ia akan buka peluang dan ruang yang lebih besar daripada yang anda jangka dan fikirkan. Jadi, cukup dulu perkongsian saya. Let me know if you think there are more to add. Leave your comments ya 😉

 

Facebook Comments

Click Here to Leave a Comment Below

Leave a Reply: