April 12, 2018

Menumpang Doa Dan Rezeki Anak- Anak

“Mama, nanti bila Mama dah ada rezeki lebih, boleh tak kita pergi Disneyland lagi sekali?”

Tiba- tiba Adam bersuara di dalam kereta, semasa kami dalam perjalanan ke satu kenduri minggu lepas.

Saya bertanya,

“Adam teringin nak pergi lagi ke?”

Adam menjawab,

“Adam nak bawak Adeena, sebab dulu kita pergi Adeena belum ada lagi. Kesian Adeena tak pernah pergi Disneyland”

Oh Adam, itu memang tipikal sikap kamu. Selalu fikirkan orang lain.

“Ok Adam, jom doa sama- sama, dapat rezeki lebih kita pergi lagi. Doa anak- anak Mama memang makbul”

Adam terkejut,

“Iye ke doa budak- budak makbul??”

Saya menyambung,

“Betul! Dulu kita pergi Disneyland Hong Kong tu sebab Kakak Aliyah doa hari- hari, lepas tu Allah dengar doa dia”

Adam angguk tanda setuju. Aliyah tersenyum simpul di sebelah. Saya senang hati.

Memang betul pun.

Sepanjang saya menceburkan diri dalam bisnes dari rumah ni, banyak sungguh saya menumpang rezeki anak- anak.

Pertama kali buat keputusan nak mula jadi pengedar produk pun, asbab melahirkan Adam. Ketika itu saya mencari set pantang paling mudah dan berkesan. Apabila terbukti berkesan, terus saya rekomen kepada kawan- kawan dan buat side income kecil- kecilan.

Tahun kedua bisnes, saya buat janji dengan Aliyah pula. Dua janji saya, pertama mahu bawa dia ke Disneyland. Dan kedua, saya janji akan bekerja dari rumah sebelum dia darjah satu.

Saya tumpang doa Aliyah, hari- hari dia sebut mahu ke Disneyland dan mahu Mama bekerja dari rumah, tidak tinggalkan dia lagi untuk pergi outstation.

Kini, fast forward tahun ke-7, saya selalu ingatkan Aliyah (dan diri saya sendiri), berkat doa dia dan Adam lah, rezeki bisnes ini tidak pernah putus. Saya kerap ulang ucapan terima kasih kepada anak- anak, dan ini buat mereka gembira dan Adam macam biasa, mudah terharu!

Kita seringkali menjadikan anak- anak kita sebagai “big why” untuk kita berusaha memperbaiki ekonomi keluarga. Kita mahu berikan yang terbaik kepada mereka, samada pada waktu sekarang atau sebagai persiapan masa depan mereka.

Namun, dalam masa kita bertungkus lumus itu, jangan lah kita lupa, rezeki bisnes yang mengalir masuk, pastinya juga berkat doa mereka yang Allah makbulkan.

Ayuh kita berterima kasihlah kepada anak- anak, kerana tanpa doa mereka, mungkin kita tak mampu capai, apa yang telah kita kecapi hari ini 🙂

Facebook Comments

Click Here to Leave a Comment Below

Leave a Reply: