December 29, 2017

Yang Dikejar Tak Dapat, Yang Dikendong…?

Saya yakin minggu depan, kita akan masih lagi tersasul- sasul nak ingat tarikh, masih lagi tulis 2017 padahal dah masuk 2018! Sekejap betul masa berlalu. Susah ke senang ke 2017 tetap akan meninggalkan kita. Dan tetaplah kita akan mula mencoret senarai azam tahun baru, seperti tahun- tahun sebelum ini.

Saya sebenarnya sudah pun merangka beberapa azam yang mahu dicapai untuk tahun 2018. Ada yang terlalu peribadi untuk dikongsi, tetapi ada yang wajib saya sebarkan untuk beri idea, dan mana lah tau boleh juga dipinjam buat semangat rakan- rakan.

Yang pertamanya, berkaitan kerjaya.

Sejak pertengahan tahun ini, saya berkira- kira untuk kembali bekerja sepenuh masa. Malah saya sudah pun menghantar beberapa permohonan kerja yang saya fikirkan sesuai dengan pengalaman, minat dan jiwa. Antara sebab utama saya nak kembali bekerja ialah sepanjang 2017 saya rasakan jaringan kenalan baru yang semakin menguncup.

Saya fikir mungkin apabila saya keluar bekerja, saya boleh menambah kenalan dan membina jaringan yang meluas. Ini penting untuk kelangsungan bisnes saya juga. Lebih ramai kenalan, lebih baik untuk bisnes.

Tetapi pada masa yang sama, saya terus mencari jalan untuk menambah kenalan dengan cara yang lebih pantas menggunakan platform Facebook dan LinkedIn. Saya menghadiri kelas asas LinkedIn bersama Azleen Abdul Rahim dan saya dapati, okay, walaupun saya bekerja dari rumah, saya masih boleh bina hubungan dengan kenalan dari sektor- sektor lain (malah mereka juga teruja nak berkenalan dengan blogpreneur seperti saya!)

Kemudian saya pergi pula menghadiri Future of Work Conference. Rupa- rupanya saya sekarang ni sedang menikmati satu cara bekerja DARI MASA DEPAN! Masa depan pekerjaan rupanya tidak lagi tergantung kepada di mana kita bekerja, syarikat apa yang membayar gaji kita dan berapa jangkamasa kita bekerja. Kita boleh dapat gaji daripada beberapa syarikat, dan masih boleh bebas menentukan cara kita bekerja, di mana kita bekerja tanpa terikat dengan satu cara sahaja.

Saya kini menikmati beberapa sumber pendapatan, yang mana kesemuanya dijana dengan cara fleksibel, tanpa batas pejabat, tanpa batas waktu, tanpa sekatan birokrasi dan sebagainya. Tetapi pada masa yang sama, saya dah tengok banyak contoh wanita- wanita yang bekerjaya, kemudian berhenti untuk beberapa tahun, dan masuk semula ke sektor pekerjaan, dan berjaya! Ini memang buat saya terinspirasi untuk kembali bekerja dan menjadi pekerja cemerlang juga!

Hal yang kedua, faktor kewangan.

Saya fikir, mungkin saya boleh buat bisnes secara part time macam dulu- dulu. Kalau dulu pun masa buat part time saya dah boleh jana pendapatan sampingan sama banyak dengan gaji tetap, jadi kali ni mesti saya boleh buat lagi sekali. Ada gaji tetap, kemudian ada lagi side income, mesti lumayan!

Tetapi 5 tahun dahulu, perbelanjaan untuk berulang alik ke tempat kerja, tidaklah semahal sekarang! Sekali sekala saya ambil LRT, memang terkejut dengan kadar tambang, termasuklah nak bayar teksi dan Grab. Itu belum lagi cerita harga minyak yang kejap naik, kejap turun, dah macam blood pressure kita jugak!

Jadi untuk kembali bekerja, saya kena fikir gaji banyak mana baru berbaloi untuk saya.

Yang ketiga pula ialah hal kebajikan dan kesejahteraan anak- anak.

Apabila saya nyatakan hajat nak kembali bekerja, anak sulung saya berkata “Mama, Kakak tak nak hidup kita berubah” LOL! So dramatic right?

Tapi sememangnya akan berubah jika saya kembali bekerja. Terlalu banyak perubahan perlu dilakukan, dan saya anggarkan mungkin 3-4 bulan juga barulah anak- anak boleh sesuaikan diri.

Tahun ini tahun penting untuk anak kedua saya, kerana dia akan mulakan sesi persekolahan darjah 1. Saya rasa tidak adil pula untuk dia, sedangkan ketika Kakaknya darjah 1, kami beri masa yang secukupnya untuk hantar dan ambil dari sekolah, temankan buat kerja rumah, siapkan bekalan dan sediakan makanan kegemaran setiap kali balik dari sekolah.

Ini memang dilemma.

Baru saja semalam saya hadiri satu temuduga kerja, dan walaupun sesi berjalan lancar, saya masih belum boleh buat keputusan, apakah ini sebenarnya yang saya mahu? Ada kurang dari 24 jam untuk kita cecah tahun baru 2018, dan saya harap dilema saya ini pun boleh turut diselesaikan sebelum 12 tengah malam tahun ini. Doakan saya ya!

xx
Puteri

Facebook Comments

Click Here to Leave a Comment Below

Leave a Reply: