May 18, 2017

3 point penting saya belajar di seminar Ini Bisnes Bukan Propa – IBBP

Selama dua hari berlangsung seminar Ini Bisnes Bukan Propa (IBBP) saya sangat tertarik dengan tema “bukan propa” yang dibawakan dalam seminar ini, dan sememangnya ia telah memberi saya pelbagai idea baru untuk saya aplikasikan di dalam bisnes.

Secara amnya, seminar IBBP, mahu mengajak para peserta mengenali secara praktikal, apakah yang mereka perlu tahu, yang mereka perlu buat dan yang mereka perlu belajar sekiranya mereka benar- benar mahu menjadi usahawan.

Kejayaan orang berniaga bukan setakat mengira untung, tetapi diukur melalui keupayaannya mengekalkan hayat bisnes dalam masa panjang.

1- TENTUKAN HALATUJU DAN JANGKA HAYAT BISNES 

Menurut Wan Nong Muzafar, terdapat 3 jenis jangka hayat bisnes yang boleh kita pilih iaitu :

a- Hit & Run
b- Ikut trend
c- Long term

Jenis (a) dan (b) bersifat jangka pendek, dan masih boleh beri keuntungan. Bisnes hit & run biasanya bersifat adhoc dan tidak sengaja. Mungkin hari ini kita nampak peluang nak menjual kerepek buatan ibu kita, jadi kita sediakan kerepek, bungkus dan terus jual di kalangan rakan- rakan di pejabat. Kalau habis laku, untung lah. Kalau tak laku, mungkin kita boleh makan sendiri.

Bisnes ikut trend pula memerlukan kita membuat keputusan dengan cepat. Cepat- cepat decide produk apa, cepat- cepat buat marketing, cepat- cepat jual dan buat untung. Semuanya kena cepat sebelum orang lain masuk dalam pasaran yang sama, dan sebelum trend berakhir. Antara trend yang pernah kita nampak tahun lepas misalnya ialah bisnes air balang dan jus buah- buahan ketika bulan Ramadhan.

Bisnes jangka panjang memerlukan perancangan yang rapi. Menurut Wan Nong, secara ideal, usahawan mesti ambil masa sekurang- kurangnya 12 bulan untuk merancang segala-galanya. Bermula dengan kos bahan mentah, kempen pemasaran, projection untung rugi, persiapan sementara tunggu balik modal, persiapan untuk berhenti bisnes dan lain- lain lagi.

2- JENAMA YANG KUAT BINA JARINGAN PELANGGAN SETIA 

Menurut CEO/ Founder Jelita Sara, Tuan Wan Zaki, pemilik bisnes mesti menentukan brand jenis apakah yang ingin diketengahkan. Terdapat dua jenis branding umum iaitu personal branding (pemilik bisnes sendiri) dan corporate branding (nama produk/ label/ brand).

Brand yang dibina dengan baik, akan mengumpulkan pengikut yang setia. Wan Zaki berpendapat, dalam menguruskan brand, bisnes perlu tahu apakah yang menyebabkan pelanggan boleh menjadi pengikut setia. Brand Jelita Sara misalnya banyak dibantu oleh organic outreach (brand dikenali tanpa kaedah pemasaran berbayar), kerana mereka memberi fokus meningkatkan kualiti khidmat pelanggan.

Kata Wan Zaki, di saat fanpage brand/ produk lain memberi syarat “JANGAN CALL KAMI, PM SAHAJA”  JelitaSara mengambil inisiatif membuat panggilan ke setiap pelanggan yang bertanya. Semakin tinggi perhatian diberikan kepada pelanggan, semakin kuat kesetiaan mereka kepada jenama tersebut.

Wan Nong pula ada menyebut, dalam usaha membina kesetiaan pelanggan, usahawan juga perlu kenal segmen pelanggan mereka. Secara peribadi Wan Nong berpendapat, adalah sukar untuk mendapat pelanggan setia di dalam segmen bisnes jenis hipster (trend) kerana golongan muda suka mencuba pelbagai produk baru, dan tidak kekal dengan satu brand sahaja.

3- SKILL KOMUNIKASI, ASET PENTING PEMILIK BISNES

Fizo Omar memberi banyak insights menarik sepanjang sesi beliau berkongsi teknik komunikasi yang berkesan untuk pemilik bisnes. Menurut Fizo, skill komunikasi adalah aset penting untuk dikuasi oleh pemilik bisnes, sekiranya mahu bisnes bertahan lama.

Fizo telah berkongsi secara ringkas Konsep A-B-C yang boleh digunakan oleh pemilik bisnes supaya dapat berkomunikasi dengan cemerlang apabila berhadapan dengan prospek dan pelanggan.

A : Appearance
Jaga penampilan luaran dan penampilan mesti kena dengan Time, Occasion, Place. Berpakaian lah mengikut masa, acara dan tempat. Jangan ambil mudah kod dan etika berpakaian kerana ia bukan saja ia mencerminkan anda, tetapi juga bisnes anda.

B : Behavior
Tingkahlaku kita menggambarkan 90% daripada mesej yang kita nak sampaikan. Perhatikan cara kita duduk, berdiri, dan cara berjalan dan mula membuat penambahbaikan sekiranya perlu.

C : Communication
Samada komunikasi lisan atau melalui gerak badan (body language) semuanya mesti menggambarkan yang kita lebih hormat kepada orang lain.

Menurut Wan Nong, usahawan perlu suka dan enjoy dengan proses- proses yang “tidak seksi” seperti merancang kos bahan mentah, membuat projections, bermain dengan data dan nombor, sehinggalah merancang untuk keluar dan berhenti (exit plan).

Saya suka untuk memetik kata- kata Fizo yang berbunyi,

“Ramai orang kejar sales, nak dapat rumah besar, nak kereta mewah. Tetapi ramai lupa bagaimana cara untuk dapat idea, monetize the idea and meeting the right people (to work on the idea)”.

Sememangnya usahawan perlukan idea- idea yang segar dan perlu dibantu bagi mempelajari bahagian- bahagian “tidak seksi” di dalam membangunkan bisnes. Untuk membina jenama dan bisnes yang berdiri teguh dalam jangka masa yang panjang, usahawa perlu sedar bahawa, INI BISNES, BUKAN PROPA!

Subscribe to Blog via Email

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 217 other subscribers

Click Here to Leave a Comment Below

Leave a Reply:

CommentLuv badge