Hormon Kortisol Punca Ketagih Gula Menjadi- Jadi?

Selama hampir dua tahun saya membimbing rakan- rakan yang mahu bebas daripada masalah ketagihan dan kemaruk gula, saya seringkali mendengar mereka mengeluh,

“Terlalu banyak kerja di pejabat, saya stress, rasa nak makan macam- macam”

“Bila dekat period je, saya tak boleh kawal kemaruk nak makan makanan manis- manis”

“Penat lah minggu ni, anak- anak tak sihat, meragam, saya tak sempat fikir apa nak dimakan”

Apakah sebenarnya yang berlaku?

Benarkah tekanan perasaan boleh mencetus rasa ketagihan gula?

Tahukah anda terdapat penjelasan saintifik tentang isu ini.

Tekanan dan rasa ingin makan, bukanlah sesuatu yang dibuat- buat dan bukan sebab kita mengada- ngada dan manja!

Apabila kita berada dalam keadaan tertekan, tubuh kita akan menghasilkan satu hormon yang dikenali sebagai hormon kortisol.

Tugas- tugas utama hormon kortisol ini ialah :

  • mengawal atur metabolisme tubuh
  • mengawal paras gula dalam darah
  • membantu mengurangkan keradangan dalam tubuh
  • mengawal tekanan darah
  • menyeimbangkan paras garam dan air dalam tubuh

Namun begitu, apabila hormon kortisol berada di paras yang tinggi dalam jangka masa yang lama, ia akan memberi kesan kepada kesihatan tubuh badan kita, seperti :

  • paras gula dalam darah meningkat
  • tekanan darah meningkat
  • kehilangan kalsium dalam tulang
  • sistem imun tubuh merosot
  • melemahkan otot
  • lemak bertambah
  • melemahkan fungsi kognitif (tidak fokus, lemah ingatan)

Kaitan Hormon Kortisol Dengan Paras Gula Dalam Darah Dan Ketagihan Gula

Dalam keadaan kita mengalami tekanan setiap hari, hormon kortisol ini  akan membekalkan gula untuk keperluan tubuh kita daripada simpanan protein di dalam hati. Tenaga inilah yang kita gunakan untuk membebaskan diri kita daripada bahaya atau tekanan yang kita hadapi.

Namun begitu, sekiranya kita berada dalam keadaan tertekan secara berpanjangan (setiap hari), paras kortisol kita akan sentiasa berada di paras yang tinggi menyebabkan tubuh terus menerus menghasilkan gula sehingga paras gula dalam darah akan meningkat.

Apabila paras gula dalam darah kerap berada di paras yang tinggi, maka kerap juga lah kita akan mendapat serangan kemaruk dan ketagihan terhadap makanan yang tinggi kandungan gula.

Secara teorinya, dalam jangka panjang, apabila ini berlaku ia akan meningkatkan risiko kita mendapat penyakit kencing manis.

Jadi, apabila kita sudah mengetahui bahawa hormon kortisol ini boleh mempengaruhi tahap ketagihan dan kemaruk gula, kita perlu belajar cara untuk mengawal tekanan supaya ketagihan kita tidak berlarutan.


Hubungi Coach Gula untuk bimbingan mingguan.

Sertai Group Facebook Geng No Sugar Challenge untuk pelbagai perkongsian harian.

Facebook Comments

Please Login to Comment.