May 8, 2017

Mengapa wanita lebih sesuai membina perniagaan jualan langsung?

Sekitar tahun 1984/ 85, pada satu petang ada sepasang suami isteri datang menziarah kami sekeluarga di rumah. Saya tidak pernah kenal pasangan ini, tetapi saya tahu mereka bukanlah saudara mara emak atau abah.

Saya tidak pasti apa yang mereka bualkan dengan emak, tetapi di akhir kunjungan ringkas itu, emak bersetuju untuk berjumpa lagi, dalam masa seminggu lagi.

Seminggu berlalu, sekitar jam 5 petang, rumah kecil kami di kunjungi oleh sekitar 6-7 orang jiran tetangga wanita. Ada yang datang seorang dan ada yang datang bersama anak- anak.

Pasangan suami isteri tersebut juga ada bersama, dan kali ini mereka mengeluarkan berkotak- kotak set pinggan mangkuk daripada kereta, dan mempamerkannya di hadapan semua yang hadir.

Beberapa buah katalog berwarna- warni juga bertukar tangan, dan mood di dalam rumah kami begitu ceria dengan gelak ketawa makcik- makcik dan kakak- kakak jiran tetangga.

Sambil berbual, mereka juga menjamu selera. Walaupun menu petang itu ala kadar sahaja, iaitu teh O bersama bihun goreng, semua orang seolah- olah melekat di kerusi dan tidak mahu pulang.

Hampir jam 7 malam, dalam gelak ketawa yang belum berakhir, barulah majlis bersurai, dan jiran- jiran pun pulang ke rumah.

Saya tidak pasti apa yang mereka bualkan sepanjang pertemuan ringkas petang itu, tetapi pada malam tersebut emak sibuk mengira nama jiran dan jumlah set pinggan mangkuk yang mereka beli.

Beralih ke sekitar tahun 2000- 2001, saya bersama adik perempuan kemudian mengulang aktiviti yang hampir serupa ketika kami berada di universiti.

Dengan berbekalkan katalog- katalog alat solek, kami menjemput kawan- kawan perempuan berkumpul di bilik tv, dan menawarkan sesi make- over percuma. Di akhir sesi, kami berjaya menjual beberapa jenis gincu bibir, celak mata dan bedak kompak.

Selain wang tunai, kami juga diberi insentif berbentuk barang- barang mekap secara percuma oleh sponsor kami.

Tanpa saya sedar dan tahu, rupa- rupanya dalam tahun 1886, inilah kesempatan yang digunakan dengan baik oleh pengasas Avon, David H. McComwell, apabila beliau telah mengenalpasti bahawa wanita adalah jurujual semulajadi kerana wanita ada kebolehan untuk bersosial dan membina jaringan dengan sangat mudah.

Usah memandang rendah pengaruh “Avon Lady” kerana mereka bukanlah sekadar seorang ejen jualan langsung, tetapi juga bertindak sebagai rakan dan pendengar yang baik. Sumber imej : Pinterest

Apabila wanita berkumpul, sudah tentu mereka akan berbual, berbincang dan bertukar- tukar pendapat. Antara topik yang sentiasa akan menarik minat wanita untuk berkumpul dan berbincang ialah isu anak- anak dan keluarga, serta kesihatan dan kecantikan. Secara lumrahnya wanita akan mengikut dan setia dengan topik perbincangan kumpulan yang disertainya.

Topik perbualan wanita digunapakai oleh syarikat Shaklee untuk memperkenalkan produk berkaitan berat badan wanita 30-an. Sumber : Pinterest

Peluang bisnes pula akan sentiasa wujud di mana saja wujudnya wanita- wanita berkumpul. Tetapi kini usaha membina bisnes jualan langsung bersama- sama rakan- rakan wanita tidak lagi terhad kepada berkongsi katalog dan home parties semata- mata.  Pemasaran digital yang digunakan oleh wanita hari kini membolehkan mereka membuka peluang yang jauh lebih luas dan besar lagi.

Jika dahulu  wakil jualan langsung yang datang berjumpa ke rumah berjumpa emak saya, kini hubungan yang sama boleh dibina dengan lebih cepat melalui pelbagai medium seperti perbualan di Skype, perkongsian video di Facebook dan Fanpage, soal- jawab di email dan sebagainya.

Jika dahulu perkenalan dengan prospek mungkin dibuat secara langsung di majlis- majlis sosial, di tempat awam ataupun melalui orang tengah, kini untuk berkenalan dengan orang baru atau prospek boleh dibuat dengan satu klik Add Friend di Facebook atau menyertai ribuan kumpulan di Facebook seperti kumpulan mengikut hobi, kawasan kejiranan, alumni sekolah dan universiti dan bermacam- macam lagi.

Lebih mengujakan lagi, kalau dahulu hubungan sesama ahli kumpulan, prospek dan pelanggan hanya bergerak di kawasan yang sama, kini sudah boleh menembusi kelompok rakan wanita di negara jiran yang lain seperti Indonesia dan Singapura.

Berkenalan secara online, dan membina bisnes jualan langsung bersama. Sumber : Puteri and Friends

Namun begitu, pemilik bisnes jualan langsung, perlu tahu dan mengakui bahawa walaupun teknologi digital memudahkan kita membina hubungan dan jaringan, ianya tetap tidak boleh menggantikan hubungan secara “face to face’. Usaha mesti dilakukan supaya hubungan “online” dapat sekali sekala disusuli dengan pertemuan “offline”.

Di dalam bisnes jualan langsung, hubungan dua hala yang baik dalam sebuah kumpulan boleh menjadi petunjuk kepada halatuju dan masa depan bisnes tersebut. Ada kajian mendapati bahawa wanita lebih gembira dan lebih maju jika dapat bekerja dalam kumpulan, dan wanita lebih mudah bekerjasama dalam kumpulan berbanding lelaki.

Jika wanita dalam bisnes jualan langsung, gagal membina hubungan yang baik dalam kumpulan, pastinya bisnes mereka tidak boleh berkembang dan bertahan lama.

Atas dasar inilah, apabila kebolehan wanita secara semulajadi yang suka berkumpulan dan bekerjasama, digabungkan dengan peluang perniagaan jualan langsung, dan dilancarkan lagi dengan penggunaan pemasaran digital, maka tidak hairanlah jika kebelakangan ini, muncul ramai wanita yang telah menjana pendapatan yang lumayan setaraf malah ada yang lebih berbandingan golongan profesional lain.

Adakah idea kombinasi kebolehan semulajadi wanita, model perniagaan jualan langsung dan pemasaran digital mengujakan anda?

Atau pernahkah anda membina bisnes jualan langsung bersama rakan wanita yang lain?

Saya ingin sekali mendengar pengalaman anda pula 🙂

Subscribe to Blog via Email

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 217 other subscribers

Click Here to Leave a Comment Below

Leave a Reply:

CommentLuv badge